AZLI dari Kampung Tebuk Mufrad kreatif menghias laman rumah dengan bahan buangan sempena sambutan kemerdekaan.
AZLI dari Kampung Tebuk Mufrad kreatif menghias laman rumah dengan bahan buangan sempena sambutan kemerdekaan.
Samadi Ahmad


SETIAP orang mengimpikan untuk memiliki landskap yang unik dan menarik di rumah masing-masing.

Namun, bukan perkara mudah untuk menghasilkan reka bentuk landskap yang bukan sahaja mampu memberi keselesaan dan ketenangan kepada pemiliknya, malah menarik perhatian orang ramai.

Berbeza dengan bekas guru di Sabak Bernam, Selangor ini yang memiliki bakat terpendam dan kemahiran seni yang 'diperoleh' ketika mengajar satu ketika dulu untuk menghasilkan landskap daripada bahan semula jadi serta terbuang di persekitaran rumahnya.

Biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang itu, namun Azli Suradi, 56, berjaya membina landskap menarik di rumahnya berkonsepkan sambutan Bulan Kebangsaan 2021 di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar.

Azli bijak memanfaatkan ruang halaman rumahnya dengan membina sendiri landskap menerusi elemen gazebo, pagar, pintu gerbang, basikal lama, kipas siling, piring parabola, tong pemadam api, tayar kereta, botol minuman, seludang, buluh dan batu-bata sejak 2015.

Pesara guru besar di Sekolah Kebangsaan,Teluk Rhu setahun lalu itu menggunakan warna Jalur Gemilang untuk mewujudkan suasana Hari Kebangsaan bagi mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang memulakan aktiviti itu sejak 2015 dengan memasang bendera dan meneruskan hobi membina landskap bercirikan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengambil inspirasi daripada pembacaan dan mengolahkannya dengan kreativiti sendiri.

DAUN kelapa kering dijadikan sebagai bumbung dan bunga dari botol plastik sebagai hiasan pada pintu gerbang.
DAUN kelapa kering dijadikan sebagai bumbung dan bunga dari botol plastik sebagai hiasan pada pintu gerbang.

Katanya, idea untuk menghasilkan hiasan itu timbul apabila dia melihat banyak botol plastik dan seludang terbiar di kampung begitu sahaja sehingga merosakkan pemandangan dan ada baiknya jika ia dikitar semula.

"Botol plastik dan seludang sebenarnya boleh digubah untuk menghasilkan pelbagai hiasan yang menarik dan kosnya juga tidak semahal mana hanya dengan sapuan cat, ia pasti kelihatan menarik.

"Kebiasaannya saya sendiri masuk kebun untuk mencari seludang dan jadikannya sebagai pagar hiasan di halaman, manakala botol minuman terpakai saya olah menjadi bentuk bunga.

"Setiap kali tiba Bulan Kebangsaan, saya mula memikirkan idea baharu untuk menghias rumah dengan pelbagai replika kerana ia bukan hanya pertandingan semata-mata, malah semangat yang ditunjukkan untuk sambutan kemerdekaan negara," katanya di rumahnya.

GAZEBO nampak menarik dihiasi bunga dari botol plastik.
GAZEBO nampak menarik dihiasi bunga dari botol plastik.

Azli bersyukur apabila idea landskap di rumahnya mendapat maklum balas positif dari penduduk setempat dan luar sehingga pernah memenangi beberapa pertanding seperti tempat ketiga hiasan kediaman (2015) dan naib johan (2016), johan hiasan kediaman (2018) dan johan pintu gerbang (2019) peringkat Selangor.

Menurutnya, ada juga yang menjadikan halaman rumah saya sebagai tempat untuk mengambil gambar, malah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerap menerima kunjungan dari tetamu luar seperti pelajar sekolah, tadika dan penduduk kampung berhampiran untuk melihat sendiri hasil karya landskap ini dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi mereka.

"Kita hanya perlu ada minat yang mendalam dan rajin membuat rujukan serta berharap hasil kerjanya ini dapat menyemai rasa cinta selain minat kepada individu lain untuk sama-sama menghargai erti kemerdekaan," katanya yang turut mendapat dorongan dan bantuan daripada isteri, Rafidah Roslay, 53, serta anak tunggalnya, Ahmad Faiq,19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:20 AM