ZAIZUL Azri bersama isteri di hadapan Kotak Teduh.
ZAIZUL Azri bersama isteri di hadapan Kotak Teduh.
Muhamaad Razis Ismail

Rumah kontena antara kediaman alternatif yang dibina sepenuhnya menggunakan kontena perkapalan.

Siapa sangka kontena yang digunakan untuk meletakkan barang boleh diubah menjadi rumah yang selesa dan mampu milik untuk didiami.

Rumah kontena biasanya menjadi pilihan kerana harganya yang jauh lebih rendah berbanding dengan rumah biasa apatah lagi boleh dibina mengikut cita rasa pemiliknya.

Bagaimanapun, perlu diingat, pemiliknya juga perlu mengambil kira penjagaan dan penyelenggaraan mengikut tempoh masa tertentu.

Zaizul Azri Mohamad Mahayudin, 39, dan isterinya, Hamizah Baharuddin, 34, antara yang yang memilih kontena sebagai kediaman.

Mereka teruja dapat merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri yang dinamakan sebagai Kotak Teduh di Meru, Klang pada 2017.

Kotak Teduh yang berkeluasan 30 x 60 kaki persegi ini mendapat perhatian ramai, apabila berjaya mengubah dua kontena menjadi sebuah kediaman yang unik dan menarik.

Dari luar, kediaman dua tingkat ini seperti rumah teres biasa, namun siapa sangka ia diperbuat daripada kontena yang dilengkapi ruang tamu, ruang kerja, dapur, dua tandas, dua bilik tidur, ruang santai dan balkoni.

RUANG kerja yang ringkas dan selesa.
RUANG kerja yang ringkas dan selesa.

Bukan itu sahaja, rumah ini turut mempunyai sebuah taman mini dinamakan Hutan Kecil yang menempatkan pelbagai pokok termasuk Fiddle Fig, Monstera Deliciosa, Monstera Adansonii, Ruby dan sebagainya.

Zaizul Azri atau mesra disapa Apit berkata, pada mulanya dia sudah merancang untuk membina rumah dengan konsep Scandinavia namun terpaksa mencari alternatif lain kerana kos yang tinggi.

"Kemudian saya berbincang dengan isteri sebelum bersepakat memilih untuk membuat rumah kontena kerana kos lebih murah dan minimalis.

DAPUR menggunakan konsep industri.
DAPUR menggunakan konsep industri.

"Idea ini tercetus menerusi televisyen dan internet yang banyak memaparkan rumah berkonsepkan rumah kontena di dalam serta luar negara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, selepas membuat carian, mereka nekad membeli dua kontena kapal berharga RM14,000 sebelum kerja pengubahsuaian dibuat di tapak operasi kontena di Pelabuhan Klang.

"Proses pembinaan bermula dengan penyediaan tapak rumah dengan bantuan jiran.

"Pembinaan kontena mengambil masa lebih kurang dua minggu manakala pembinaan bahagian lain mengambil masa empat minggu. Kami juga banyak menggunakan bahan terpakai yang dapat menjimatkan kos," katanya.

Jelasnya, untuk hiasan dalaman mereka memilih penataan minimalis untuk penjimatan ruang, sederhana, ringkas dan mudah diselenggara.

TERUJA dapat realisasikan rumah impian.
TERUJA dapat realisasikan rumah impian.

"Saya menggunakan perabot yang minimum berwarna natural dengan susun atur bertepatan dengan konsep minimalis.

"Di dapur dan pagar, saya menerapkan konsep industri dengan penggunaan bata merah dan besi. Semua rekaan, kami lukis dan cipta sendiri," katanya.

Zaizul Azri bijak menyeimbangkan karakter kontena yang sifatnya keras itu dengan menanam tumbuhan hijau.

"Kami memiliki taman mini Hutan Kecil bagi menempatkan pelbagai jenis tumbuhan sebagai terapi," katanya.

Mengulas lanjut, ramai yang tersalah anggap bahawa rumah kontena lebih panas berbanding rumah biasa.

"Sebenarnya, rumah kontena tidak menyimpan haba seperti rumah konkrit.

HUTAN hujan menempatkan pelbagai tumbuhan.
HUTAN hujan menempatkan pelbagai tumbuhan.

"Untuk sistem pengaliran udara sempurna saya menggunakan kipas pengudaraan, pendingin hawa, bata merah dan tumbuhan hijau di sekitar rumah," katanya.

Tambahnya sejak tular di media sosial, ramai mula membuka mata dan minat untuk memiliki rumah kontena sendiri.

Ditanya perancangan masa hadapan, guru di sebuah sekolah rendah ini berhasrat membuat penambahbaikan dengan struktur binaan lebih kreatif.

‘SOSMED Space’ menjadi tumpuan tetamu untuk bergambar.
‘SOSMED Space’ menjadi tumpuan tetamu untuk bergambar.

"Kami mahu mengetengahkan konsep seolah-olah seperti sedang bercuti dan kafe dengan menaik taraf hiasan dalaman serta luaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:00 AM