KILANG pembuatan pelbagai produk KWM Craft Malaysia.
KILANG pembuatan pelbagai produk KWM Craft Malaysia.
Muhamaad Razis Ismail


Minat mendalam terhadap penghasilan produk berasaskan kayu mendorong individu ini terbabit secara serius dalam bidang itu sejak lapan tahun lalu.

Biarpun bermula pada usia 50 tahun, namun sama sekali tidak menghalang Muhamad Isa Saad, 58, untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

Apa tidaknya produk yang dihasilkan untuk kegunaan masjid seperti mimbar, cokmar, meja kuliah dan rehal mendapat sambutan di dalam serta luar negara.

Muhamad Isa berkata, dia bertugas sebagai sebagai penjawat awam sebelum memulakan perniagaan barang keselamatan selama 20 tahun.

Katanya, pada 2013 dia berubah angin untuk terbabit dalam perniagaan penghasilan produk berasaskan kayu dengan menubuhkan KWM Craft Malaysia.

"Pada mulanya, perniagaan ini dijalankan sekadar minat sahaja kerana saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang ini.

KILANG pembuatan.
KILANG pembuatan.

"Saya belajar sedikit demi sedikit dan menghasilkan produk di belakang rumah sahaja.

"Alhamdulillah, produk dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan. Kini saya mempunyai 16 pekerja dan sebuah kilang di Kampung Selangor Dredging, Dengkil, Selangor," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, bermula dari pembuatan tongkat, kini pelbagai produk berjaya dihasilkan membabitkan tiga kategori.

"Pertama membabitkan perabot masjid, diikuti cenderamata dan produk peribadi seperti rehal moden, pemegang telefon dan sebagainya.

"Kini, kami turut menawarkan perkhidmatan hiasan dalaman sama ada di kediaman atau masjid yang dijalankan oleh anak dan menantu," katanya.

Muhamad Isa berkata, dengan penggunaan mesin CNC dan teknologi laser, produk dapat dihasilkan dengan lebih banyak dalam tempoh yang singkat.

"Selain menjual produk yang sudah sedia siap, kami turut menerima tempahan khas mengikut selera pelanggan.

ANTARA mimbar yang dihasilkan.
ANTARA mimbar yang dihasilkan.

"Kami turut mempunyai dua pengukir khusus untuk produk yang memerlukan ukiran tangan timbul," katanya.

Beliau berkata, penghasilan peralatan dan perabot untuk masjid ini bukan berasaskan keuntungan semata-mata tapi sebagai fardu kifayah.

"Sebagai orang Islam, saya turut rasa bertanggungjawab untuk menyumbang kepada agama melalui produk yang dihasilkan," katanya.

Jelasnya, pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (ketika artikel ini ditulis) memberi kesan kepada perniagaannya apabila tidak dapat beroperasi.

KUALITI produk sentiasa diutamakan.
KUALITI produk sentiasa diutamakan.

"Banyak tempahan diterima, namun kilang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga jualan jatuh sehingga 95 peratus.

"Kami bergantung kepada jualan rehal yang dijual di platform e-dagang dan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat mempelbagaikan penghasilan produk yang turut boleh dibeli oleh pelanggan bukan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:49 AM