HALAMAN rumah Ahmad Maliki turut diserikan dengan rekaan pintu ukiran tradisional yang digandingkan dengan pagar bata merah. FOTO Ghazali Kori
HALAMAN rumah Ahmad Maliki turut diserikan dengan rekaan pintu ukiran tradisional yang digandingkan dengan pagar bata merah. FOTO Ghazali Kori
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DEK kerana minat, seorang perunding hartanah dari Marang, Terengganu sanggup berhabis puluhan ribu ringgit membeli hiasan termasuk pokok eksotik dari luar negara untuk menghiasi laman rumahnya.

Ahmad Maliki Husin, 40, mula menghiasi laman rumah banglo setingkatnya dengan berkonsepkan 'blue garden' secara sedikit demi sedikit sejak empat tahun lalu.

Kata Ahmad Maliki, idea itu hadir selepas dia melihat penataan laman sebuah rumah di Indonesia yang bukan sahaja menarik malah menyejukkan mata yang memandang.

Demi merealisasikan idea itu, Ahmad Maliki membeli beberapa jenis pokok eksotik antaranya rumput Kyoto dari Jepun dan lapan jenis pokok Encephalartos iaitu Lehmani, Horridus, Trispinosus, Arenarius Blue, True Blue, Dolominticus, Longgifolius Blue dan Eugene Marasii yang berasal dari kepulauan Afrika.

Selain itu pokok eksotik dari Australia, Cycus Carsiana dan pokok Mocrozamia Morei Blue dari Mexico juga menjadi pilihan Ahmad Maliki untuk menghiasi halaman rumahnya.

"Bukan sahaja menarik dijadikan hiasan di halaman rumah malah pokok-pokok eksotik itu juga sesuai dengan keadaan cuaca negara kita yang panas hampir sepanjang tahun.

"Walaupun harganya agak mahal namun ia mudah dijaga," katanya kepada Harian Metro.

AHMAD Maliki sanggup berhabis demi mendapatkan dekorasi halaman yang diidamkan. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Maliki sanggup berhabis demi mendapatkan dekorasi halaman yang diidamkan. FOTO Ghazali Kori

Menurut Ahmad Maliki lagi, untuk memastikan aliran air kawasan pokok halaman itu lancar, dia membeli pasir malang iaitu jenis pasir hitam gunung berapi dari Indonesia.

Katanya, pasir gunung berapi itu sememangnya sesuai untuk akar pokok eksotik berkenaan dan pada masa sama, ia juga berfungsi sebagai baja.

"Selain itu, pasir gunung berapi itu juga tidak menakung air dan penting untuk pertumbuhan pokok berkenaan.

"Bagi menyerikan lagi keindahan halaman rumah, batuan granit dari Kedah turut menjadi pilihan.

"Kombinasi pokok eksotik, batuan granit dan pasir malang itu sememangnya mendamaikan suasana serta menceriakan lagi halaman rumah ini," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Maliki berkata, rumput Kyoto yang ditanam di halaman rumahnya jarang menjadi pilihan rakyat negara ini kerana harganya bukan sahaja mahal tetapi ia juga tidak boleh dipijak seperti rumput biasa.

Namun, semua itu tidak menghalang minatnya terhadap tumbuhan eksotik berkenaan.

RUMPUT Kyoto menjadi pilihan. FOTO Ghazali Kori
RUMPUT Kyoto menjadi pilihan. FOTO Ghazali Kori

"Bagi saya, rumput Kyoto sangat unik dan lebih menarik berbanding rumput karpet biasa.

"Pokok itu juga menjadi hiasan utama kediaman masyarakat di Jepun," katanya.

Kata Ahmad Maliki, dia juga menanam pokok landskap lain termasuk Cycus Revoluta Alpa dari Jepun di depan pagar rumahnya yang sudah didiami sejak 14 tahun lalu itu.

Turut menghiasi kawasan luar pagar ialah pokok Macrozamia Morei Blue.

Katanya, penataan halaman itu disiapkan dengan bantuan rakan-rakannya ketika masa terluang.

"Saya tidak kisah berhabis wang ringgit asalkan dapat halaman rumah yang diidamkan.

DEKORASI halaman yang mendamaikan. FOTO Ghazali Kori
DEKORASI halaman yang mendamaikan. FOTO Ghazali Kori

"Penataan halaman hampir siap sepenuhnya dan boleh dikatakan masa terluang saya kini tidak kira pagi atau petang, banyak dihabiskan dengan membelek pokok-pokok berkenaan.

"Jika tiada halangan, saya juga bercadang untuk menghiaskan ruang yang ada di belakang rumah dengan penataan ala Jepun pula namun kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ia tidak dapat direalisasikan lagi ketika ini," katanya.

ANTARA pokok hiasan di halaman rumah Ahmad Maliki. FOTO Ghazali Kori
ANTARA pokok hiasan di halaman rumah Ahmad Maliki. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, penataan halaman rumah itu turut diserikan dengan rekaan pintu ukiran tradisional yang digandingkan dengan pagar bata merah.

Apapun, dua elemen itu jelas menyerlahkan cita rasa tersendiri perunding hartanah berkenaan dalam menghias kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:00 AM