TERRARIUM yang dihasilkan Urbanrimba.
TERRARIUM yang dihasilkan Urbanrimba.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


TERRARIUM iaitu perhiasan tanaman dan pelbagai aksesori dalam bekas atau balang yang diperbuat daripada kaca atau plastik lut sinar mendapat tempat peminat hiasan dalaman.

Biarpun masih baharu, permintaan terhadap terrarium sebagai sebahagian hiasan dalaman rumah amat memberangsangkan.

Pengasas Urbanrimba, Asraf Isa berkata, kelebihan terrarium adalah penjagaan yang mudah dan hanya perlu siram sebulan sekali.

"Kedudukan terrarium juga penting bagi memastikan ia hidup dengan segar.

"Letakkan ia di lokasi yang tidak terlalu terdedah dengan cahaya matahari. Seeloknya diletakkan di bahagian yang redup," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penghasilan terrarium juga mudah kerana anda boleh mengikut panduan di internet dan proses ubah suai boleh dilakukan mengikut kreativiti masing-masing.

"Penghasilan terrarium bergantung kepada saiz dan jenis balang yang digunakan. Lebih besar balang lebih lama masa yang diperlukan.

"Terrarium yang ringkas boleh siap mengambil masa dalam 15 hingga 30 minit," katanya.

Asraf bersama pengasas bersama, Jazli Jumain berkongsi panduan menghasilkan moss terrarium sendiri.

ASRAF (kanan) bersama Jazli.
ASRAF (kanan) bersama Jazli.

Cara-cara membuat Moss Terrarium

Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

A. Balang kaca

B. Batu hiasan kecil (pebbles)

C. Lumut kering (sphagnum moss)

D. Tanah

E. Lumut (moss)

F. Batu hiasan (jenis Sepertine)

G. Pasir hiasan

1. Balang kaca untuk moss terrarium tidak mempunyai lubang saliran. Langkah pertama adalah dengan menggunakan skop tanah mini, isikan batu hiasan kecil dalam balang kaca, anggaran dalam 1.5 sentimeter mengikut saiz balang yang akan digunakan. Tujuan meletakkan batu hiasan kecil adalah untuk menampung lebihan air yang tidak akan diserap oleh lumut kering dan tanah.

2. Kemudian isikan lumut kering (sphagnum moss) sebagai lapisan kedua. Tekan lumut kering bagi mendapatkan lapisan yang lebih kemas.

3. Selepas itu masukkan tanah dalam anggaran 1.5 sentimeter mengikut keluasan balang kaca.

4. Langkah keempat, letakkan batu hiasan seperti dalam gambar. Ini bertujuan menambah 'effect' landskap dalam moss terrarium.

5. Letakkan lumut (moss) ke beberapa bahagian dengan menggunakan penyepit.

6. Langkah keenam, taburkan pasir hiasan ke beberapa bahgian dalam balang kaca. Dengan menggunakan berus, kemaskan pasir supaya tidak terlekat pada moss.

7. Langkah terakhir, semburkan keseluruhan permukaan lumut sehingga mengenai semua bahagian dengan menggunakan air tapisan. Anda diingatkan supaya tidak mengunakan air paip kerana ia mengandungi klorin yang mampu mematikan Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:49 AM