ANTARA kediaman penduduk di Kampung Sungai Budor yang dicat dengan warna pelangi.
ANTARA kediaman penduduk di Kampung Sungai Budor yang dicat dengan warna pelangi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


IDEA dekorasi menarik Pertubuhan Prihatin Wanita Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mentransformasikan kawasan perkampungan Sungai Budor, Kota Bharu, sebagai destinasi pelancongan terbaharu di Kelantan.

Ia turut menjadi 'port' unik 'InstaWorthy' untuk bergambar yang memberikan panorama seakan berada di luar negara.

Terletak hanya 10 minit dari pusat bandar, dahulunya ia hanyalah sebuah kawasan penempatan biasa di tebing Sungai Kelantan.

Namun sejak kebelakangan ini, kampung itu semakin menjadi tumpuan ramai.

Keceriaan rona pelangi secara tidak langsung mengubah landskap kampung berkenaan yang kini menjadi antara tarikan utama pelancongan di negeri itu.

Kebanyakan rumah penduduk kampung dibaik pulih dengan proses menukar zink dan papan dinding yang uzur sebelum dicat dengan pelbagai warna seperti kuning, ungu, merah dan biru.

MENGGAMIT kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.
MENGGAMIT kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

Proses transformasi itu dikatakan bermula sejak Mac 2018 dan sehingga kini hampir 10 rumah penduduk kampung sudah dicat dengan warna pelangi.

Mengikut jangkaan masih ada berbaki ratusan rumah lagi yang akan dicat bagi menceriakan kawasan sekitar untuk menarik perhatian pelancong ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Keceriaan kawasan perkampungan itu juga boleh kelihatan dari udara dan mampu dilihat dengan mata kasar dari sejauh kira-kira tujuh kilometer.

PENDUDUK kampung mengecat rumah dengan pelbagai rona ceria.
PENDUDUK kampung mengecat rumah dengan pelbagai rona ceria.

Dekorasi menarik berwarna-warni tidak ubah seperti di Kampung Tridi di Malang, Surabaya, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 6:44 AM