AIDA (tengah) bersama suaminya, Mohd Azhar (kiri) sentiasa beri khidmat nasihat pilihan langsir yang baik.
AIDA (tengah) bersama suaminya, Mohd Azhar (kiri) sentiasa beri khidmat nasihat pilihan langsir yang baik.
Muhamaad Razis Ismail

Ramai yang masih beranggapan langsir antara senarai barangan terakhir yang akan dibeli untuk hiasan di dalam rumah.

Namun ada berpandangan langsir tidak dilihat penting cukup sekadar menjadi penghadang pandangan dari luar semata-mata.

Sedangkan elemen itu antara yang perlu diberi perhatian dalam usaha mencantikkan kediaman berbanding hiasan dalaman lain seperti panel dinding dan perabot.

Sebenarnya, langsir memainkan peranan penting sebagai pelengkap kesempurnaan hiasan dalaman.

Mengambil remeh dan kesilapan memilih langsir yang betul boleh memberi kesan kepada hiasan dalaman rumah tanpa kita sedari.

Terdapat empat tahap individu dalam memilih langsir iaitu yang biasa-biasa (asalkan ada), sekadar hiasan di tingkap atau pintu, untuk sempurnakan ruang dan melambangkan personaliti pemilik rumah.

Pakar langsir, Aida Haswani Abu Hassan berkata, kesedaran masyarakat terhadap penggunaan langsir yang betul masih berada pada tahap biasa.

KOMBINASI warna langsir dan perabot.
KOMBINASI warna langsir dan perabot.

"Pada pandangan mereka, langsir dilihat sebagai pilihan barang terakhir berbanding hiasan dalaman lain. Kebiasaannya, pereka langsir hanya dipanggil selepas selesai dekorasi.

"Tanpa mereka sedari bahawa tanpa langsir hiasan dalaman tidak lengkap malah kesilapan memilih langsir boleh menjejaskan konsep hiasan di dalam rumah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, langsir memainkan peranan penting sebagai penaik seri rumah setaraf dengan hiasan dalaman lain.

"Oleh itu pemilihan material, rekaan dan warna kain yang betul memainkan peranan penting supaya ia menepati konsep keseluruhan rumah.

"Sebagai contoh, jika pemilik rumah menggunakan konsep minimalis, warna langsir yang bersesuaian adalah warna bumi seperti kelabu, hijau atau coklat.

"Pada masa sama, kita ambil kira juga warna cat rumah, perabot, kertas dinding atau lantai untuk disepadankan dengan warna langsir," katanya.

Pengasas Ai Curtains berkata, selain itu juga pemilihan kain jenis plain dan bercorak juga bergantung kepada hiasan di dalam rumah.

"Biasanya untuk kain bercorak, kita perlu lihat keadaan dalam rumah, termasuk perabot, kertas dinding dan karpet yang turut memiliki corak untuk elakkan nampak terlalu sesak.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada cita rasa pelanggan," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, langsir berperanan membantu dari segi keselamatan penghuni dan barang di dalam rumah.

BIDAI jenis Roman.
BIDAI jenis Roman.

PEMILIHAN jenis langsir perlu mengambil kira keadaan ruang.
PEMILIHAN jenis langsir perlu mengambil kira keadaan ruang.

"Trend sekarang, banyak rumah yang menggunakan cermin, sehingga orang dari luar boleh nampak apa yang ada di dalam rumah sekali gus menarik perhatian ramai orang. Dari segi keselamatan ia tidak baik.

"Oleh itu dengan menggunakan langsir yang bersesuaian ia dapat membantu melindungi daripada sebarang ancaman keselamatan," katanya.

Sementara itu, pengasas bersama Ai Curtains, Mohd Azhar Ibrahim berkata, mereka yang memiliki bajet yang terhad dinasihatkan mendahulukan pemasangan langsir di bahagian ruang tamu dan bilik tidur utama.

"Hal ini kerana, tetamu yang berkunjung ke rumah biasanya akan dibawa ke ruang tamu. Melalui penggunaan langsir mereka boleh membuat tanggapan awal berkenaan pemilik dan keluarga rumah itu.

"Oleh itu adalah amat penting menggunakan langsir yang bersesuaian," katanya.

Beliau turut menasihatkan individu yang ingin membeli langsir untuk mengetahui konsep yang dikehendaki untuk kediamannya.

"Perlu diingat langsir yang betul dan bersesuaian memainkan peranan sangat penting bukan sahaja memberi impak kepada hiasan dalaman sesebuah kediaman malah membantu dari segi keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:15 AM