RUANG makan ringkas dengan wainscoting menjadi titik fokal.
RUANG makan ringkas dengan wainscoting menjadi titik fokal.
PERABOT dan aksesori yang tidak sarat memudahkan Arni mengemas kediaman.
PERABOT dan aksesori yang tidak sarat memudahkan Arni mengemas kediaman.

RONA putih dan kelabu menyambut kehadiran penulis ke ruang utama kediaman teres dua tingkat yang dibeli sekitar 2005 ini.

Ternyata meskipun tidak menggunakan pakar hiasan dalaman profesional, namun idea yang digarapkan pasangan suami isteri, Amrul Nizam Mohamed Ibrahim, 45, dan Arni Yusniza Jasman, 40, membuatkan kediaman mereka tampak begitu luas.

Cita rasa seni yang sudah sebati dengan jiwa si isteri yang lebih mesra disapa Arni Yusniza memudahkan lagi ibu kepada lima cahaya mata itu menghasilkan sebuah hiasan kediaman yang unik.

"Jika ditanya mengenai konsep sebenarnya, saya dan suami gemarkan sesuatu yang tidak mengehadkan kemampuan untuk menyatukan perabot atau aksesori.

"Jadi, sengaja kami memilih rona putih dan kelabu cair pada bahagian panel dinding atau wainscoting supaya ia bukan sahaja memberi kesan luas malah mudah 'masuk' dengan pelbagai jenis perabot serta aksesori," katanya.

Guru seni dan bekas graduan seni seramik dari Universiti Teknologi Mara itu menambah, meskipun kebanyakan kerja menghias diberi kepercayaan oleh suami kepadanya namun Amrul Nizam turut mempunyai cita rasa yang unik dalam menyumbang idea.

LAMPU siling unik sedikit rendah di ruang televisyen yang ringkas.
LAMPU siling unik sedikit rendah di ruang televisyen yang ringkas.

"Suami percaya sepenuhnya kemampuan saya mendekorasi kediaman ini kerana dia tahu, cita rasa saya yang sukakan perkara ringkas tetapi praktikal dan unik.

"Namun, terdapat beberapa elemen yang dipilih suami seperti lantai kayu yang dilihat ia seakan-akan coklat kemerahan dan lampu perhiasan siling di ruang televisyen yang berjurai agak rendah," katanya.

Bercerita mengenai hiasan panel dinding, Arni Yusniza berkata, perkara itu dibuatnya sendiri tanpa menggunakan khidmat kontraktor.

RONA putih dinding menjadi
RONA putih dinding menjadi

"Kira-kira dua tahun lepas panel dinding ini menjadi trend, jadi saya mencuba untuk menghasilkannya sendiri, bermula membeli kayu, memotong mengikut saiz sehinggalah melekatkannya saya lakukan.

"Dua hari juga untuk siapkan kerana agak sukar melakukannya seorang diri. Disebabkan itu, hanya di ruang makan sahaja ada panel dinding. Secara tidak langsung ia menjadi titik fokal," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga tidak gemarkan perabot yang terlalu banyak di dalam kediaman kerana sukar untuk melakukan aktiviti mengemas.

Jelasnya, perabot yang ada di ruang tamu misalnya mudah untuk dialihkan kerana dia kerap mengemas dan membersihkan rumah sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

HIASAN seramik yang senada dengan rona dinding dan perhiasan bunga tiruan.
HIASAN seramik yang senada dengan rona dinding dan perhiasan bunga tiruan.

"Aktiviti mengemas dan membersihkan rumah penting kerana anak keempat saya mempunyai asma yang teruk selain tidak boleh langsung terkena habuk serta cepat lelah.

"Jadi, apabila kerap mengemas dan membersihkan rumah, secara tidak langsung susun atur perabot juga akan dilakukan bagi memastikan keadaan tampak baru walaupun menggunakan perabot sedia ada," katanya.

Ditanya mengenai inspirasi dalam mendekorasi kediaman katanya, laman web dan media sosial menjadi rujukan utama.

"Selain itu, saya juga seorang yang gemar membeli barangan hiasan rumah daripada pembekal tempatan dan sekarang begitu banyak ditawarkan dengan harga mampu milik.

"Contohnya, sebagai seorang pencinta seramik, saya gemarkan hiasan itu berada di ruang tamu dan membelinya dari Instagram atau Facebook," katanya.

Menjengah ke dapur, ternyata kabinet begitu unik kerana mempunyai rona asli kayu dan ia sebenarnya dibeli sekitar 2007 lalu dari IKEA.

KABINET dapur yang unik berwarna kayu oak.
KABINET dapur yang unik berwarna kayu oak.

"Ramai yang datang dan menjengah ke dapur mengatakan kabinet ini agak unik. Bagaimanapun, saya cuba juga mencari di IKEA, namun sudah tiada lagi koleksi ini.

"Pada awalnya warna kabinet itu tidak sebegitu tetapi agak cerah dan lama kelamaan ia menjadi gelap menyerupai rona kulit iaitu kayu oak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:50 AM