TENAGA \kerja pakar akan membuat kajian secara terperinci sebelum melaksanakan sebarang aktiviti hiasan dalaman.
TENAGA \kerja pakar akan membuat kajian secara terperinci sebelum melaksanakan sebarang aktiviti hiasan dalaman.
Hafiz Ithnin


KADANGKALA timbul persoalan sama ada menggunakan kreativiti sendiri atau pereka hiasan dalaman profesional bagi merealisasikan impian dekorasi eksklusif pada ruang kediaman. Jika mempunyai bajet lebih mengapa tidak?

Mengulas mengenai perkara itu, pensyarah merangkap Profesor Madya Program Seni Bina di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, menghias kediaman adalah sesuatu perkara yang menarik untuk dilakukan kerana ia boleh menjadi kanvas mencurahkan kreativiti dan personaliti seseorang itu ke dalam kediaman sendiri.

Katanya, tidak menjadi masalah untuk menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman profesional atau sebaliknya kerana bagi golongan yang mempunyai latar belakang profesional dari segi pendidikan dan pengalaman, sudah tentu dapat melakukan sebuah karya hiasan dalaman menarik, praktikal serta paling penting mampu memuaskan hati pelanggan.

Tambahnya, bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan atau kajian yang lengkap mengenai hiasan dalaman, pastinya idea lebih kepada konsep hiasan sedia ada yang menarik hasil pemerhatian peribadi tetapi tidak melihat kesan pelaksanaannya kepada sesebuah kediaman.

"Mereka yang mempelajari secara khusus di dalam bidang ini pastinya sudah mengetahui mengenai kesan dan akibat jika melakukan sebarang penataan hiasan dalaman. Ini kerana mereka mengikuti sesi pembelajaran secara profesional dan pengalaman di dalam industri menjadikannya suatu garapan yang sangat baik.

"Namun, saya tidak menolak terdapat juga juruhiasan dalaman yang mempunyai pengalaman atau pemerhatian sahaja mampu menghasilkan sebuah karya yang menarik dan praktikal. Bagaimanapun, mereka perlu membuat kajian yang lebih terperinci sebelum menerima tawaran daripada pelanggan," katanya.

MENYATUKAN elemen di dalam kediaman memerlukan tenaga kerja pakar atau berpengalaman bagi memastikan hiasan dalaman tampak harmoni.
MENYATUKAN elemen di dalam kediaman memerlukan tenaga kerja pakar atau berpengalaman bagi memastikan hiasan dalaman tampak harmoni.

Dr Mohd Hafizal berkata, terdapat beberapa elemen penting dalam hiasan dalaman yang biasanya diberi perhatian oleh golongan profesional berkenaan. Antaranya kebijaksanaan dalam menghasilkan sebuah konsep yang diinginkan pemilik kediaman tanpa mengetepikan soal keselamatan, keselesaan dan praktikal.

"Apabila menerima sesuatu tawaran daripada pelanggan pastinya seseorang pereka hiasan dalaman ingin mengetahui kehendak dan keperluan pelanggan. Ia kemudiannya diterjemahkan melalui konsep atau idea yang unik kerana membabitkan ruang peribadi orang lain yang perlu dihormati.

"Namun, dalam masa yang sama pereka dalaman profesional akan memaklumkan mengenai kesan dan akibat sama ada baik atau tidak dalam menerapkan sesuatu idea hiasan itu ke dalam hiasan dalaman pelanggan. Ini supaya kedua-dua pihak mampu menimbangkannya sebelum dilaksanakan," katanya.

Tambahnya, perkara kedua yang paling penting ialah pereka hiasan dalaman profesional biasanya mempunyai ilmu dalam mengimbangi corak di dalam sesuatu ruang.

HIASAN dalaman sesuatu ruang bukan sekadar cantik tetapi mempunyai fungsi dan keselesaan kepada pemilik.
HIASAN dalaman sesuatu ruang bukan sekadar cantik tetapi mempunyai fungsi dan keselesaan kepada pemilik.

"Perkara ini sebenarnya paling rumit dan mencabar kerana di dalam sebuah ruang seperti di ruang tamu terdapat pelbagai jenis perabot, infrastruktur asas kediaman seperti dinding atau tingkap serta aksesori tambahan seperti langsir.

"Setiap komponen atau elemen itu mempunyai corak dan warna yang berbeza. Jadi, pereka hiasan dalaman ini perlu bijak mengimbangi setiap perkara di dalam ruang itu," katanya.

Katanya lagi, pereka hiasan dalaman profesional juga sangat mementingkan ergonomik iaitu melakukan sesuatu hiasan dalaman yang mampu memberikan keselesaan kepada pengguna dan ruang itu sendiri.

"Golongan profesional ini tidak menggunakan konsep 'agak-agak' kerana mereka perlu memastikan setiap ruang yang digunakan harus diukur dengan baik dan membuat unjuran penggunaan dengan sempurna supaya pemilik kediaman selesa," katanya.

PEMILIHAN warna dan kesan kepada mood ruang menjadi elemen yang dititik beratkan juru reka hiasan dalaman profesional.
PEMILIHAN warna dan kesan kepada mood ruang menjadi elemen yang dititik beratkan juru reka hiasan dalaman profesional.

Katanya, elemen pencahayaan juga diambil kira golongan itu supaya keadaan di sesuatu ruang mudah menerima cahaya secara praktikal dan memberi kesan baik kepada penghuni.

"Antara elemen lain yang diambil berat pereka dalaman ialah identiti mereka sendiri kerana pelanggan akan mencari individu yang mempunyai cita rasa tersendiri dan unik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:10 AM