DAPUR perlu bersih bagi mengelakkan risiko pencemaran ketika menyediakan makanan.
DAPUR perlu bersih bagi mengelakkan risiko pencemaran ketika menyediakan makanan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Dapur antara ruang yang paling penting dalam sesebuah rumah.

Ia dianggap sebagai nadi kepada sesebuah rumah dan penting untuk menjaganya kerana dapur adalah tempat menyediakan makanan buat seisi keluarga.

Justeru, adalah penting untuk mengekalkan kebersihan ruang itu bagi mengelakkan risiko pencemaran ketika menyediakan makanan.

Berikut beberapa petua mudah menjaga dapur supaya ruang itu kekal bersih dan selamat digunakan:

1) Bahan pencuci alternatif

Selain daripada bahan kimia sabun pencuci, cuka salah satu alternatif untuk digunakan sebagai pencuci terutama bagi membersihkan kesan minyak dan kotoran di celahan atau sekitar kabinet dapur.

Caranya, campurkan cuka bersama air dalam botol. Goncang sehingga mengeluarkan buih dan semburkan ke bahagian kotoran. Kemudian lap dengan kain bersih.

Selain itu, lemon juga boleh dijadikan bahan pencuci yang mudah.

Apa yang perlu dilakukan adalah hiriskan lemon, campur bersama air dan garam, kemudian gosok pada bahagian kabinet dapur yang kotor dengan kain bersih. Selain dapat membersihkan kotoran, aroma lemon juga dapat menyegarkan udara dapur anda.

2) Kesan minyak

Segera cuci alatan memasak selepas digunakan.

Jika anda mempunyai dinding seperti 'tempered glass'

amat mudah untuk dibersihkan daripada kesan kotoran minyak.

Sebaliknya jika menggunakan kemasan jubin, resapan minyak di celah-celah sambungannya perlu diberi perhatian.

Jadi, sentiasa lap dan bersihkan kawasan itu selepas siap memasak.

3) Bersih penyedut asap secara berkala

Jika mempunyai penyedut asap (hood kitchen), pastikan ia diguna ketika memasak di dapur. Penapis hood itu bagaimanapun perlu dibersihkan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Ia bagi mengelakkan daripada penyedut tersumbat dan melancarkan aliran asap keluar ketika ia gunakan.

Ini kerana kesan minyak yang melekat lama-kelamaan akan menebal.

4) Sediakan alas untuk periuk atau kuali

Untuk memastikan permukaan meja kerja (table top) kabinet dapur anda tidak rosak, penggunaan seperti alas periuk panas juga sangat penting.

Ia dapat mengelakkan daripada berlaku 'heatmark' pada permukaan meja kerja atau kabinet dapur anda.

Selain itu, alas untuk perkakas yang basah juga penting.

SEDIAKAN bakul sampah bertutup.
SEDIAKAN bakul sampah bertutup.

5) Menyediakan bakul sampah bertutup

Ini amat penting kerana dapat mengelakkan bau kurang enak di dapur selain menjaga kebersihan.

Kelebihan menggunakan bakul sampah berpenutup juga menghalang anak kecil daripada menyelongkar sampah dan mengelakkan daripada ia jatuh atas lantai dapur.

6) Tuala lap dan span perlu bersih

Pastikan tuala pengelap di dapur dan span sentiasa dibersihkan sekurang-kurangnya tiga hari sekali.

Ini kerana apabila basah, tuala lap dan span itu menjadi tempat pembiakan bakteria.

CUCI segera peralatan yang digunakan.
CUCI segera peralatan yang digunakan.

7) Kerap bersihkan singki

Singki tidak boleh dibiarkan tanpa dibersihkan.

Seeloknya, ia perlu dibersihkan setiap dua atau tiga hari sekali dengan produk pencuci khas singki.

Ini kerana sisa makanan yang terperangkap dalam saluran singki serta keadaan yang lembap menggalakkan pertumbuhan bakteria.

8) Cuci papan pemotong

Gunakan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu keras atau plastik dan tidak retak.

Elakkan papan pemotong yang diperbuat daripada bahan lembut dan basuh dengan air panas, sabun, serta berus skrub.

Papan pemotong juga perlu dibersihkan dengan rapi selepas digunakan untuk makanan mentah seperti makanan laut dan ayam atau daging.

Jika boleh, tetapkan satu papan pemotong untuk bahan mentah dan satu lagi untuk makanan lain seperti sayur atau buah-buahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 6:30 AM