RUANG tamu yang menarik. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin
RUANG tamu yang menarik. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin
Muhamaad Razis Ismail

MENERUSI kreativiti unik, seorang penjawat awam bersama suaminya berjaya mengubah kediaman menjadi sangat menarik dan sedap mata memandang.

Sesiapa sahaja yang berada di kediaman rumah teres dua tingkat di Dengkil, Selangor dengan keluasan 20x65 kaki persegi milik Nor Hidayu Baharudin, 35, dan Hafiz Aluwi, 37, bagaikan dibawa meninjau sebuah kedai perabot terkenal.

Menggunakan konsep moden kontemporari, setiap ruang termasuk ruang tamu, dapur dan bilik di kediaman ini memiliki keunikan tersendiri dan dimanfaat sebaik mungkin.

Pemilihan warna dan cermin juga digunakan dengan baik untuk 'meluaskan' ruang sekali gus memberi keselesaan bukan sahaja kepada penghuninya malah tetamu yang bertandang.

Sentuhan 'ajaib' pasangan suami isteri ini membuatkan tetamu pasti cemburu dengan dekorasi di setiap ruang di rumah ini.

Nor Hidayu berkata, rumah itu dibeli pada tahun lalu dan mula berpindah masuk pada Jun 2019 kerana berhampiran dengan tempat kerja di Putrajaya.

Katanya, dia menggunakan konsep moden kontemporari yang ringkas serta tidak terlalu sarat.

ANTARA ruang yang digemari Nor Hidayu. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin
ANTARA ruang yang digemari Nor Hidayu. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin

"Antara elemen utama yang menjadi kekuatan dekorasi ialah warna, tekstur dan corak.

"Saya banyak menggunakan gabungan warna 'earth tone' dan neutral lebih kepada kuning cair dan kelabu.

"Contohnya, saya menggunakan sofa berwarna kuning cair dan digabungkan dengan kerusi kepak berwarna kelabu dari Ikea.

"Penggunaan warna neutral mampu memberi impak ruang yang lebih luas," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain itu, penulis mendapati pemilik rumah banyak menggunakan hiasan di dinding seperti bingkai kufi, lukisan dan sebagainya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, hiasan di dinding itu melambangkan identitinya dan suami.

"Saya sangat menggemari seni kaligrafi dan ia juga boleh menimbulkan ilusi berbeza pada mata yang melihatnya.

"Selain itu, saya gabungkan dengan hiasan pokok tiruan seperti 'sky bird' dan 'fiddle fig' untuk nampak lebih segar," katanya.

RUANG makan yang nampak luas dengan penggunaan cermin. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin
RUANG makan yang nampak luas dengan penggunaan cermin. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin

DAPUR yang luas dengan penggunaan cermin. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin
DAPUR yang luas dengan penggunaan cermin. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin

Beliau berkata, ruang memori yang menempatkan potret semua anaknya ketika masih kecil antara tempat paling digemari di dalam rumah.

"Di ruang ini saya gantung empat gambar termasuk tiga gambar anak berserta meja dan pokok tiruan.

"Selain itu, di ruang tangga, saya lekatkan batu kastone untuk dapatkan efek hipster. Gabungan dekorasi hiasan dinding besi berbentuk peta juga digunakan untuk menyerlahkan ruangan itu," katanya.

Dalam pada itu, Nor Hidayu berkata, dia juga banyak menggunakan cermin untuk mendapatkan impak visual yang lebih menarik dan elegan.

"Secara tidak langsung ruang yang kecil akan nampak lebih besar. Contohnya di ruang makan, kami gunakan cermin besar yang dibeli di kedai perkakasan rumah dengan kos RM400 sahaja supaya nampak lebih luas," katanya.

Keunikan lain, pastinya bilik tidur milik anak lelaki berusia tiga tahun yang bertemakan dinosaur.

Di dalam bilik ini, terdapat ruang untuk aktiviti panjat tembok (wall climbing), tangga, rak mainan buaian dan lukisan berbentuk rumah.

Katanya, hiasan dalaman di bilik ini adalah ideanya sendiri dengan menggunakan barang mampu milik yang dibeli di kedai perkakasan rumah.

"Idea 'wall climbing' dan tangga ini kerana ia membantu perkembangan anak dari segi kekuatan, daya tahan dan fleksibiliti.

DINDING yang menggunakan batu kastone. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin
DINDING yang menggunakan batu kastone. FOTO Ihsan Nor Hidayu Baharudin

"Warna dinding, saya menggunakan kombinasi hijau muda dan tua yang dapat meningkatkan kelajuan membaca dan pemahaman kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, idea untuk menghias rumahnya dihasilkan dengan suami yang berkongsi minat sama terhadap hiasan dalaman.

"Kami banyak membuat rujukan di aplikasi pinterest, majalah dan rancangan televisyen, kemudian kami cuba aplikasi di rumah sendiri berdasarkan bajet sedia ada.

"Malah untuk jimatkan kos, kebanyakannya kami lakukan sendiri (DIY) seperti panel kayu dinding yang kalau ditempah, harganya akan lebih mahal.

"Keseluruhan dekorasi mengambil masa lebih kurang tiga bulan dengan pembelian barang dibuat secara berperingkat sebelum mendapat kunci rumah," katanya.

Diminta memberi panduan kepada individu yang ingin membuat dekorasi rumah sendiri, Nor Hidayu menasihatkan mereka tidak terburu-buru membeli perabot rumah.

"Pemilik rumah perlu tahu konsep yang ingin ditonjolkan. Perlu diingat barang cantik tidak semestinya mahal kerana apa yang penting adalah cara kita mengolah mengikut kreativiti.

"Beli perabot ikut kesesuaian dan saiz rumah untuk elakkan ruang menjadi sempit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 7:00 AM