WARNA merah di dapur dapat membangkitkan selera makan.
WARNA merah di dapur dapat membangkitkan selera makan.
Muhamaad Razis Ismail

KOMBINASI warna dan corak memainkan peranan penting untuk memastikan dekorasi kediaman yang diidamkan dapat direalisasikan.

Dalam memilih warna, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk kombinasi warna dasar, jenis ruangan dan warna perabot.

Pereka bentuk dalaman, Noordiyana Farihah Mohamad Helmi berkata, pilihan warna amat penting untuk memberikan impak sesebuah ruang.

"Oleh itu, perlu berhati-hati apabila menggabungkan pilihan warna kerana ia mungkin akan lari dari idea reka bentuk asal anda atau boleh juga mencantikkan lagi sesebuah ruang.

"Sekiranya anda ingin hiasan lebih menonjol, jangan berpegang pada warna neutral sahaja, sebaliknya, pilih corak berwarna yang menarik dan memuaskan hati anda," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, warna dapat mengingatkan kenangan dan menimbulkan emosi serta merangsang fizikal serta psikologi tindak balas dalam badan.

"Warna hijau dan biru umpamanya memberikan ketenangan serta sesuai untuk bilik tidur, manakala warna merah boleh meningkatkan selera makan selain sering digunakan di dapur atau restoran.

"Tetapi apabila kita mereka bentuk sesebuah ruang untuk orang yang cepat marah, elakkan menggunakan seperti warna merah yang boleh memberi tindak balas negatif. Gunalah warna yang tenang seperti kuning atau biru cair,"katanya.

GUNAKAN warna terang untuk ruang yang kecil nampak luas.
GUNAKAN warna terang untuk ruang yang kecil nampak luas.

Tambahnya, ketika mempertimbangkan warna bilik, fikirkan terlebih dahulu mengenai tujuan ruangan digunakan dan apakah aktiviti yang dilakukan di ruang itu.

"Apabila mereka bilik untuk bilik bacaan, elakkan warna yang tenang kerana ia boleh menj

adikan kita lebih mengantuk atau malas. Gunalah warna yang terang dan ceria seperti warna merah, biru gelap, hijau serta kuning.

"Pertimbangkan saiz ruang anda. Pereka dalaman selalunya akan menggunakan warna yang lebih terang atau lebih cerah di ruang yang kecil. Ia bagi memberikan ilusi sesebuah ruang lebih besar manakala warna yang lebih gelap dapat memberikan dimensi sesebuah ruang lebih luas," katanya.

Katanya, selain itu, perlu pertimbangkan bagaimana pencahayaan mempengaruhi pilihan warna yang dipilih sama ada sebelah siang atau malam kerana cahaya dapat mengubah persepsi pilihan warna.

Mengulas lanjut, corak apabila diselarikan dengan warna, dapat menawarkan penggunaan yang serupa dengan tekstur kerana ia dapat menambahkan lagi daya tarikan terhadap sesebuah ruang.

"Apabila kita sudah mengenal pasti gaya dan saiz sesebuah ruang, boleh pertimbangkan penggunaan corak yang sesuai.

"Corak boleh digunakan untuk menentukan suasana di dalam bilik. Oleh itu, penting untuk mempertimbangkan fungsinya," katanya.

Ujarnya, sekiranya ingin menghasilkan suasana yang elegan, boleh mengurangkan ton warna dan bermain dengan warna neutral.

"Sekiranya mahukan ruang itu meriah dan menyeronokkan, anda boleh gunakan corak yang berani, unik serta mempunyai variasi.

"Pengelompokan atau corak yang sama digunakan di seluruh kawasan dapat memberi impak kepada sesebuah ruang. Selalunya digunakan sebagai dinding utama seperti di bilik tidur, ruang tamu atau ruang makan," katanya.

CORAK dapat tentukan suasana di sesebuah ruang.
CORAK dapat tentukan suasana di sesebuah ruang.

NOORDIYANA Farihah.
NOORDIYANA Farihah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:30 AM