STOR 68 kaki persegi jadi studio seni dihiasi mural ‘anamorphic’ dilukis sendiri pemilik
STOR 68 kaki persegi jadi studio seni dihiasi mural ‘anamorphic’ dilukis sendiri pemilik
Muhamaad Razis Ismail

MINAT mendalam terhadap seni lukis, mendorong seorang lelaki mengubah stor di bilik kediamannya yang terletak di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur menjadi 'kapal angkasa.'

Ahmad Fathil Zakaria, 32, menggunakan bakat semula jadi yang dimilikinya menghasilkan lukisan mural 'anamorphic' di stor berkeluasan 68 kaki persegi yang dijadikan sebagai studio untuk menghasilkan karya seninya.

Penulis turut teruja melihat gambar yang dikongsikan Ahmad Fathil seolah-olah berada di dalam kokpit 'kapal angkasa' di angkasa lepas.

Boleh dikatakan ia dilihat seperti di dalam filem bertemakan sains fiksyen termasuk Star Trek, Star Wars dan Guardians Of The Galaxy.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, idea untuk menghasilkan mural di biliknya tercetus sejak Januari lalu sebagai azam tahun baharu sebelum ia dimulakan pada pertengahan Februari.

Katanya, dia membuat secara sedikit demi sedikit kerana terikat dengan pekerjaan.

AHMAD Fathil bersama mural yang dihasilkan.
AHMAD Fathil bersama mural yang dihasilkan.

ANAKNYA turut teruja.
ANAKNYA turut teruja.

"Setiap hari selepas pulang daripada kerja, saya peruntukkan masa sekitar empat hingga lapan jam untuk menyiapkan mural ini.

"Dalam proses untuk menyiapkan mural ini kerajaan pula mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 dan saya perlu bekerja dari rumah.

"Saya seronok dapat fokus untuk siapkan mural ini pada 22 Mac lalu dengan bajet sekitar RM500," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, tidak mudah untuk menghasilkan mural berkenaan kerana perlu ketelitian dan teknik yang betul.

"Ini bukan seperti lukisan biasa, banyak perkara perlu diambil kira seperti warna, pencahayaan dan sebagainya untuk menghasilkan ilusi seperti berada di dalam kapal angkasa.

"Tambahan pula semua ilmu berkaitan seni lukisan, saya belajar sendiri dan tidak pernah hadiri mana-mana kelas formal. Jadi boleh dikatakan penghasilan mural ini sebagai sebahagian pelajaran baru kepada saya dalam mengembangkan karier sebagai pelukis profesional pada masa hadapan," katanya.

MEMERLUKAN ketelitian.
MEMERLUKAN ketelitian.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan mural ini adalah gabungan daripada beberapa filem sains fiksyen.

"Mural 'kapal angkasa' ini sebenarnya adalah simbolik untuk membawa saya terbang tinggi ke tempat yang tidak boleh dibayangkan," katanya.

Tambahnya, dia tidak menyangka mendapat maklum balas positif daripada ramai pihak sehingga tular di laman sosial selepas dimuat naik di Facebook.

"Saya menerima banyak tawaran daripada beberapa pihak yang berminat untuk mendapatkan khidmat untuk menghasilkan mural di sekolah, kafe dan bilik mereka.

"Pada masa sama, selepas PKP ini, sebuah produksi akan membuat pengambaran filem pendek akan dijalankan di bilik ini," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga, dia bersyukur isteri dan anaknya cukup memahami dan memberi sokongan sepenuhnya kepada minatnya itu.

"Malah dalam penghasilan mural ini, isteri dan anak turut sama-sama membantu.

"Kini saya dalam proses untuk siapkan mural di ruang tamu namun saya tidak akan dedahkan kepada umum sehingga ia siap sepenuhnya," katanya.

KEADAAN stor sebelum menjadi ‘kapal angkasa'.
KEADAAN stor sebelum menjadi ‘kapal angkasa'.

LAKARAN awal di kertas.
LAKARAN awal di kertas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:30 AM