PEMILIHAN lampu bersesuaian serlah ruang sempit.
PEMILIHAN lampu bersesuaian serlah ruang sempit.
Muhamaad Razis Ismail


ANTARA faktor yang sering diberi pertimbangan untuk membeli kediaman adalah keluasan rumah.

Keluasan yang sesuai bukan hanya memberikan keselesaan, malah mampu mencetuskan pelbagai idea dekorasi.

Bagaimanapun, tidak semua individu berkemampuan untuk mendapatkan rumah idaman dengan keluasan yang diharapkan kerana beberapa sebab termasuk harga dan lokasi.

Namun, ia bukan alasan kerana ada beberapa tip yang boleh diguna pakai untuk menampakkan kediaman anda lebih luas dan selesa.

Pereka hiasan dalaman, Marlia Ramli berkata, ada beberapa tip yang boleh digunakan pemilik kediaman bersaiz kecil untuk nampak lebih luas, sekali gus memberi keselesaan kepada penghuni serta tetamu.

Katanya, kediaman berkeluasan 600 hingga 800 meter persegi mampu tampil lebih luas dengan pemilihan warna cat dan perabot yang betul.

“Penggunaan warna cat seperti putih atau pastel yang sesuai dapat membantu menampakkan ruang di dalam rumah lebih luas. Bagaimanapun, anda masih boleh gunakan warna lebih terang (bold) pada dinding utama.

PERABOT berkaki menampakkan ruang.
PERABOT berkaki menampakkan ruang.

“Selain itu, pemilihan perabot turut memainkan peranan penting. Anda dinasihatkan supaya mengelakkan penggunaan perabot besar yang ‘bertutup kaki’ kerana boleh menyempitkan ruang.

“Cara terbaik adalah dengan memilih perabot yang kelihatan ‘kakinya’ untuk supaya nampak ‘slim,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Pemilik syarikat AD Creative Studio (ADCS) itu berkata, pemilik rumah juga boleh pastikan pencahayaan sesuai di segenap sudut.

“Buka pintu dan tingkap dengan luas pada sebelah siang untuk manfaatkan cahaya dari luar. Pemilihan lampu yang bersesuaian saiz dan rekaan akan menampakkan ruang sempit menjadi lebar kerana dipasang di tempat yang dirasakan perlu.

“Anda juga boleh menggunakan barang yang memiliki pantulan seperti cermin dan barang kaca terutama di ruang tamu, sekali gus menampakkan kawasan itu lebih luas daripada biasa,” katanya.

Menurutnya, untuk menampakkan rumah lebih luas, pemilik rumah juga boleh menggantungkan langsir daripada siling ke lantai untuk perspektif seolah-olah ruang itu besar.

“Selain itu, penggunaan lukisan bersaiz besar di ruang yang betul juga dapat membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:10 AM