KERJASAMA membersihkan mercu tanda lorong 1F.
KERJASAMA membersihkan mercu tanda lorong 1F.
Nurul Husna Mahmud


MENJENGAH status dimuat naik seorang penduduk Komuniti Laman Jalan 1F Desa Anggerik, Serendah, Selangor, Mohd Ezhar Ahmad Ali mengenai keceriaan di sepanjang lorong kediamannya di laman Facebook baru-baru ini, mengundang rasa ingin tahu penulis.

Mana tidaknya dari pintu masuk lorong, sudah siap tersedia replika berbentuk perigi dan dua angsa di sebelah kanan. Di bahagian bertentangan pula, dihiasi dengan pintu merah bersama basikal klasik hingga meraih perhatian sesiapa saja singgah dan berlegar di lorong berkenaan.

Penulis rasa teruja apabila dapat melihat sendiri secara dekat keceriaan landskap dilakukan hampir 40 keluarga yang menghuni lorong berkenaan.

Ia sepadan dengan ganjaran diterima apabila meraih gelaran Johan Program Indah Persekitaran peringkat negeri bagi kategori perumahan dengan geran berjumlah RM15,000.

Paling ketara ialah teratak milik penduduk yang membawa penulis bagaikan terbang jauh ke negara lain apabila melihat segenap ruang laman berkonsepkan rumah ladang ala Inggeris.

UNIK dan kreatif penataan taman dilakukan di rumah penduduk.
UNIK dan kreatif penataan taman dilakukan di rumah penduduk.

Kombinasi iaitu penataan batu sungai putih dan hitam menghiasi jalan menuju buaian putih selain pepohon hijau serta bunga yang dirias rapi sekeliling pagar juga berwarna putih. Melayakkan penghuninya dinobatkan sebagai pemenang pertama dalam kategori landskap dinilai secara individu.

Mohd Ezhar yang menetap lebih empat tahun di kawasan itu mengakui suasana dan kesepakatan penduduk lorong itu menjadi penentu kepada kejayaan dalam program anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor dan Selangor hinggakan Anugerah Kejiranan Hijau turut dimenangi penduduk di situ.

TAMAN kecil De Laman Qaseh direka atau diselenggara setiap hari oleh Zubaidah.
TAMAN kecil De Laman Qaseh direka atau diselenggara setiap hari oleh Zubaidah.

“Memang penduduk sini sepakat dan saling membantu meskipun masing-masing ada projek memperindahkan laman sendiri. Menariknya saya selaku penduduk tidak berasa inisiatif digerakkan persatuan penduduk itu satu bebanan meskipun hanya sempat meluangkan masa sebelah malam di hari bekerja dan hari minggu untuk menata rias taman mengikut cita rasa sendiri.

PENDUDUK lorong 1F sepakat menghias kediaman masing-masing.
PENDUDUK lorong 1F sepakat menghias kediaman masing-masing.

“Malah bagi penduduk yang berpengalaman, mereka juga tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi pandangan berkenaan penataan yang sesuai dengan konsep laman diinginkan. Pilihan saya ialah tema serba hijau, selain tempayan tumpah dan rumah burung untuk tonjolkan taman poket di depan rumah,” katanya.

ANTARA deko di laluan masuk lorong.
ANTARA deko di laluan masuk lorong.

Penulis juga berpeluang menemu bual pemenang tempat kedua kategori dinilai secara individu, Zubaidah Jaafar dan dia mengakui kombinasi laman herba, bunga dan penggunaan hiasan barangan terpakai menjadi pilihannya.

“Biasalah sudah usia sebegini, berkebun adalah terapi dan saya gemar menanam pelbagai jenis spesies bunga dan herba. Antara koleksi termasuk bunga kemuning, sundal malam dan banyak lagi.

“Tanaman ini diganti apabila layu. Penting dalam penjagaan bunga atau tumbuhan herba ialah kena siram dan baja selain semburan racun untuk mengawal serang serangga perosak. Untuk dekorasi pula, saya cuba gunakan barang terpakai seperti tayar atau kayu terpakai untuk jadikan arca bersesuaian dengan keceriaan laman,” katanya.

Kata Zubaidah, selain mengunjungi nurseri, laman kenalan antara sering dikunjungi untuk mendapat idea serta tip selain bertukar pokok dalam mempelbagaikan koleksi tumbuhan dalam simpanan.

Sementara itu, pengerusi penduduk komuniti itu, Hamid Abu Bakar menyifatkan kesepakatan dan kerukunan penduduk banyak menyumbang kepada kejayaan kerja penataan laman.

Meskipun setiap rumah memiliki pagar dan kawasan persendirian, tetapi komitmen menjaga keindahan serta kesejahteraan harta benda digalas bersama.

KREATIF hasil rumah burung milik penduduk taman.
KREATIF hasil rumah burung milik penduduk taman.

“Pengalaman saya sendiri kalau pulang ke kampung sehingga berminggu lamanya, tiada pernah rasa resah atau khuatir kerana ada penduduk di kejiranan ini akan tolong siram dan beri makan kepada ikan belaan.

“Malah sepanjang tempoh persiapan untuk pertandingan itu juga, saya dan penduduk saling membantu dengan amalkan sistem giliran. Kalau hari ini kerja menghias di rumah saya, esok saya pula bantu rumah jiran lain. Bagi yang ada bakat serta tahu perihal landskap, mereka jadi ‘mentor’ untuk realisasikan rekaan seperti konsep diinginkan pemilik,” katanya.

Berkongsi harapan, kata Hamid, hadiah berupa geran itu dimenangi dapat membantu meningkatkan lagi keceriaan serta infrastruktur bagi kegunaan warga penduduk bukan sahaja di lorongnya, malah penduduk taman yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 7:00 AM