BARANGAN hiasan dalam rumah seperti pasu bunga selalu menjadi mangsa terpecah apabila menerima tetamu kanak-kanak yang lasak.
BARANGAN hiasan dalam rumah seperti pasu bunga selalu menjadi mangsa terpecah apabila menerima tetamu kanak-kanak yang lasak.
Hafiz Ithnin


“EH tak apa, biasalah budak-budak. Nanti kami kemas,” itu antara ayat manis tuan rumah apabila anak si tetamu merosakkan atau menjatuhkan barangan milik mereka.

Pada hal, di dalam hati bohonglah tiada yang menyirap apabila si ibu dan bapa pula buat-buat tidak faham atau terlepas pandang mengawal si kecil apabila datang ke rumah orang.

Tapi sukar juga apabila memikirkan hal mencantikkan rumah tapi menjadi kawasan ‘larangan’ untuk tetamu. Sedangkan, jelas sekali tetamu itu juga pembawa rezeki.

Sebenarnya, perlu menjadi pemilik yang bijak untuk mengatasi masalah kediaman dirosakkan tetamu cilik yang sebenarnya sukar untuk dimarahi atau ditegur kerana ternyata bukan anak kita, bukan?

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, pemilik kediaman terutamanya bagi yang sudah berkeluarga boleh menerapkan elemen hiasan dalaman yang lebih mesra kepada kanak-kanak.

Beliau berkata, sudah menjadi lumrah kanak-kanak akan tertarik kepada sesuatu elemen yang tampak menonjol contohnya warna dinding yang kerap menjadi mangsa diconteng.

“Kini terdapat banyak jenis cat dinding yang dijual bersifat mudah untuk dibersihkan apabila terkena kotoran dan pemilik kediaman boleh menggunakannya untuk mewarnakan dinding.

“Jangan gunakan banyak kertas dinding di bahagian kediaman yang menjadi tumpuan seperti ruang tamu kerana bahan itu ternyata sukar untuk dibersihkan apabila terkena kotoran dan paling ‘menduga perasaan’ apabila si kecil tidak sengaja merosakkan hiasan itu,” katanya.

DINDING sentiasa menjadi lokasi contengan si kecil perlu mudah untuk dibersihkan.
DINDING sentiasa menjadi lokasi contengan si kecil perlu mudah untuk dibersihkan.

Pakar itu menambah, pemilihan perabot terutama sofa juga penting dengan memastikan fabrik yang boleh dibasuh dengan mudah. Perabot itu juga menjadi tumpuan tetamu untuk bertandang lama di kediaman.

Katanya, jika mempunyai sofa yang tidak boleh dibasuh, ketika ini terdapat banyak pelapik sofa yang dijual di pasaran untuk melindungi fabrik asasnya yang mungkin berasaskan baldu.

“Permaidani juga perlu diambil kira kerana kanak-kanak memang ada yang suka berlari. Jadi pastikan permaidani anda jenis bergetah di bawahnya supaya tidak mudah tergelincir.

“Selain itu, pastikan ruang tamu tidak mempunyai perabot yang mempunyai bucu tajam kerana tidak mahu kanak-kanak kemalangan ketika mengunjungi kediaman kita,” katanya.

Malah beliau turut menasihatkan jika mempunyai perhiasan yang mempunyai nilai tinggi kepada pemilik seperti pasu antik atau koleksi figura adiwira pastikan ia sentiasa berada di rak sukar dicapai kanak-kanak.

HAFIZAL
HAFIZAL

“Paling penting perabot yang berada di dalam kediaman juga selamat dan tidak mudah jatuh apabila ditolak kerana terdapat kanak-kanak yang ‘gigih’ berusaha untuk mendapatkan barangan yang mereka inginkan termasuk memanjat, jadi langkah paling baik ialah sebagai pemilik kediaman kita perlu pastikan ia kukuh,” katanya.

Mohd Hafizal menambah, jika terdapat barangan perhiasan berharga, pemilik kediaman juga boleh menyimpannya di dalam perabot yang berkunci kerana ia ternyata lebih selamat dan sukar untuk diakses si kecil.

Bagaimanapun, sebagai ibu bapa dinasihatkan jika mempunyai anak yang sedikit lasak, sentiasa juga memerhati tingkah laku si kecil supaya tidaklah menyusahkan si pemilik kediaman apabila anda pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:15 AM