PEMILIHAN warna cat perlu diberi tumpuan kerana ia menyerlahkan mood tersendiri.
PEMILIHAN warna cat perlu diberi tumpuan kerana ia menyerlahkan mood tersendiri.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEBAIK sahaja mendapat kunci rumah idaman, pasti agenda pertama yang bermain di fikiran termasuk berkaitan dekorasi.

Ia sering kali dipandang remeh namun hakikatnya, pemilihan dekorasi memainkan peranan penting untuk ‘mewarnakan’ lagi kediaman.

Bagi yang mempunyai bajet, khidmat pereka dalaman menjadi pilihan kerana tidak perlu memeningkan kepala untuk memilih, membeli dan menentukan segalanya.

MULAKAN proses mengemas dan memilih barangan yang diperlukan tiga bulan lebih awal.
MULAKAN proses mengemas dan memilih barangan yang diperlukan tiga bulan lebih awal.

Namun bagi yang kurang mampu, beberapa panduan berikut boleh dijadikan rujukan bagi mengelakkan anda pening kepala ketika mahu berpindah ke rumah baharu:

1) Mulakan proses mengemas dan memilih barang yang mahu digunakan kira-kira tiga bulan sebelum tarikh berpindah kerana ia akan memberi masa secukupnya untuk anda bersedia.

2) Sediakan satu ruang seperti bilik untuk meletakkan barang yang mahu dibuang atau didermakan bagi memastikan anda mengenal pasti barang yang benar-benar perlu untuk dibawa ke rumah baharu.

3) Tetapkan gaya dekorasi rumah anda dan bandingkan dengan perabot yang ada, adakah ia sesuai atau sebaliknya.

4) Jangan teruja untuk membeli perabot baharu kerana yang lama masih boleh disuai padan, gunakan kreativiti untuk ‘mix n match.’

5) Pemilihan warna cat juga perlu diberi perhatian kerana ia akan menimbulkan ‘mood’ tersendiri. Rona lembut dan pastel masih menjadi pilihan kerana ia tidak lapuk dek hujan serta versatil.

6) Apabila menghias rumah, cuba tetapkan supaya ia kelihatan seperti rumah contoh. Ini bermakna tiada barang bersepah, segala-galanya tersusun dan setiap bilik mempunyai sentuhan aksesori dan warna yang tepat.

7) Jika ingin melakukan proses pengubahsuaian, pastikan ia dilakukan sebelum memasuki rumah kerana ia pasti akan menyepahkan dan membuatkan anda serabut.

8) Pemilihan jenis dan corak langsir juga perlu sesuai dengan dekorasi kerana seperti warna cat, langsir yang sesuai juga akan menyerlahkan lagi kediaman anda.

9) Jika mahu membeli barangan elektrik kelengkapan rumah, pameran jualan yang menyediakan pelbagai diskaun dan hadiah menarik juga boleh dijadikan pilihan.

10) Akhir sekali, pastikan kediaman anda turut dilengkapi sistem keselamatan dan tidak rugi jika melabur untuk memasang kamera pengawasan litar tertutup (CCTV) demi memastikan keselamatan keluarga lebih terjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:05 AM