SHIELA bergambar di ruang sempit yang diletakkan cermin supaya kelihatan luas.  FOTO: Roslin Mat Tahir
SHIELA bergambar di ruang sempit yang diletakkan cermin supaya kelihatan luas. FOTO: Roslin Mat Tahir
Zaitie Satibi


CERMIN bukan sekadar alat untuk melihat refleksi diri berikutan perabot rumah yang satu ini juga mampu menjadi hiasan untuk mencantikkan ruangan. Kelebihan cermin berbanding aksesori lain dalam rumah adalah kemampuannya yang boleh beradaptasi dengan pelbagai konsep daripada gaya minimalis hingga elegan, malah boleh menjadi aksesori pelbagai fungsi.

Selain itu, cermin juga boleh digunakan untuk menjadikan ruang kecil nampak lebih besar. Bagi bilik kecil, kehadiran cermin memperlihatkan ruang lebih luas secara ilusi maya.

Bagi bilik yang lebih besar pula atau menerima jumlah cahaya terhad, cermin diletakkan bertentangan dengan tingkap dan ini akan menambahkan cahaya serta-merta. Apatah lagi cermin hiasan turut boleh digunakan sebagai seni untuk mengisi ruang dinding yang kosong.

Menyedari kediamannya di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor hanya bersaiz kecil kira-kira 1,400 kaki persegi, Shiela Zainuddin, 34, memanfaatkan penggunaan cermin dalam dekorasi supaya ruang kelihatan lebih luas.

Shiela menggantung cermin dinding yang besar dengan rekaan geometri moden di ruang tamu, sekali gus memberikan efek luas pada ruangan tengah rumah. Cermin ini digantung secara melintang pada dinding rumah mengikut dekorasi yang diingini.

Disebabkan ruang tamunya bersambung dengan ruang makan, penggunaan cermin besar membolehkan pantulan ilusi menampakkan keunikan dan ruang tampil lebih menarik.

Bagi menambah keunikan hiasan dalaman kediaman berkonsep Skandinavia itu, Shiela turut memasang cermin berbentuk potongan berlian di ruang rehat. Reka bentuknya yang moden dan unik membuatkan dia sekeluarga menjadi lebih ceria setiap kali melihat cermin itu.

CERMIN besar di ruang tamu memberi ilusi luas.
CERMIN besar di ruang tamu memberi ilusi luas.

“Dalam ruangan yang kecil, cermin adalah penyelesaian yang bijak. Apabila meletakkan cermin dengan teknik yang betul, ruang sempit dan kecil pun mampu nampak selesa serta menarik.

“Sejak mendiami rumah ini 11 tahun lalu, saya memikirkan bagaimana mahu menjadikan rumah kecil ini selesa untuk semua penghuni. Berikutan memiliki bajet yang rendah, saya hanya menggunakan perkakas sedia ada.

“Oleh itu, idea meletakkan cermin membantu merealisasikan dekorasi impian saya. Pada masa sama, saya dapati penggunaan cermin boleh membuatkan seseorang lebih selesa berada di ruang berkenaan.

“Malah penggunaan cermin turut membantu mendapatkan pencahayaan yang lebih baik sama ada ketika siang ataupun malam. Bagi cermin besar di ruang utama, saya tambahkan meja kecil, hiasan bunga dan lampu untuk membuat suasana lebih nyaman,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata yang bekerja di syarikat insurans ini gemar menghias kediamannya dan boleh dikatakan menukar konsep setiap tahun. Kali ini Shiela yang berkongsi minat dengan mengetengahkan idea dekorasi rumah bersama ibunya, Zabedah Sahak, 59, dan memilih gaya Skandinavia.

RUANG menonton yang selesa dengan kerusi rehat.
RUANG menonton yang selesa dengan kerusi rehat.

“Penataan hiasan dalaman Skandinavia ini sangat sesuai untuk rumah berukuran kecil. Selain itu, penggunaan perabot yang ringkas, tidak memiliki bentuk atau ukiran rumit juga memudahkan saya membersihkan ruangan. Ini memberi kelebihan kepada saya sebagai ibu yang bekerja dan pada masa sama mengasuh anak-anak.

“Tidak lengkap gaya sebegini jika tiada elemen hijau. Ini bertepatan dengan konsep Skandinavia yang kembali ke alam semula jadi. Tidak perlu menggunakan tanaman hijau berukuran besar, sebaliknya saya menggunakan pokok bunga dalam pasu kecil.

“Saya memilih pokok bunga dan tumbuhan berdaun hijau tiruan kerana mudah dijaga. Ia diletakkan di atas meja, kabinet, rak gantung dan beberapa sudut ruang. Pokok bunga berpasu kecil ini membolehkan saya tidak memerlukan banyak dekorasi lain,” katanya.

Bagi membolehkan kediaman kecilnya tampak mewah biarpun ringkas, Shiela menyuntik warna hangat perang keemasan pada dinding setiap ruangan. Warna emas tentu menjadi pilihan yang efektif untuk mendapatkan nuansa mewah ini. Menambah keunikan, sapuan cat pada dinding diolah berbentuk corak kepulan asap menggunakan span.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 6:00 AM