MENYUSUN atur tanaman boleh dimakan dengan baik memberi ekspresi laman yang menarik.
MENYUSUN atur tanaman boleh dimakan dengan baik memberi ekspresi laman yang menarik.
Hafiz Ithnin


LANDSKAP edibel ialah suatu gaya landskap kediaman diolah menggunakan spesies tanaman yang boleh dimakan dan boleh juga diselangselikan dengan tumbuhan hiasan yang lain.

Landskap jenis ini kian berkembang sekarang kerana masyarakat semakin mementingkan kualiti dan keselamatan sumber makanan mereka. Pemakanan organik dan pertanian bandar juga semakin popular.

Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia, Dr Nor Zarifah Maliki berkata, penduduk di kediaman strata bertingkat yang mempunyai ruang terhad juga tidak ketinggalan menghias ruang balkoni atau koridor mereka dengan tanaman yang boleh dimakan.

TANAMAN herba memberi elemen bau kepada ruang.
TANAMAN herba memberi elemen bau kepada ruang.

Beliau berkata, perkembangan itu bukanlah sesuatu yang baru, malah dari dahulu lagi penduduk di pangsapuri menanam herba dapur cuma kini trend ini menjadi semakin popular kerana masyarakat lebih peka mengenai isu keselamatan makanan.

“Kebimbangan terhadap penggunaan racun perosak dan bahan kimia berlebihan pada sayur-sayuran atau buah-buahan dari pasaran turut mendorong pemilik kediaman menanam sendiri sayur-sayuran mereka. Tambahan pula aktiviti berkebun ini boleh menjadi suatu terapi dan menghilangkan tekanan kepada mereka yang penat bekerja seharian.

“Untuk mereka bentuk sebuah landskap edibel pada ruang terhad di kediaman bertingkat, berikan keutamaan mengikut turutan keutamaan memaksimumkan fungsi ruang, keselamatan, praktikal dan nilai estetika,” katanya.

ELAKKAN memilih pokok semusim yang hanya berbunga semusim dan perlu dibuang selepas itu.
ELAKKAN memilih pokok semusim yang hanya berbunga semusim dan perlu dibuang selepas itu.

Katanya, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah pastikan fungsi utama ruang yang ada. Kediaman strata bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri mempunyai ruang terhad dan kecil berbanding rumah yang mempunyai halaman.

“Jika ruang balkoni digunakan untuk berehat atau menerima tetamu, fikirkan bagaimana anda boleh memaksimumkan ruang bagi tujuan itu dan seimbangkan dengan penanaman tumbuhan edibel.

“Pemilik boleh menanam landskap menegak dengan menanam herba pada rak yang dipasang pada dinding. Rak juga boleh digunakan untuk menyusun pasu secara bertingkat. Jadi ruang yang selebihnya boleh digunakan untuk meletakkan perabot lain seperti kerusi dan meja,” katanya.

Jelasnya, pastikan juga keselamatan terjamin dengan mengelakkan meletak pasu atau kotak penanaman pada kedudukan yang boleh memberi risiko jatuh dan menyebabkan kecederaan jika berlaku angin kuat atau kecuaian manusia. Elakkan juga meletakkan pasu tanaman di ruang koridor awam sehingga mengganggu laluan, terutama ketika kecemasan.

CILI padi memberi variasi warna pada komposisi landskap di balkoni.
CILI padi memberi variasi warna pada komposisi landskap di balkoni.

“Jika kediaman ada anak kecil, elakkan meletakkan rak penanaman berhampiran penghadang balkoni. Bahaya jika kanak-kanak memanjat rak itu. Elakkan menanam tumbuhan yang beracun dan berduri.

“Ketiga, pastikan landskap itu praktikal dengan memilih spesies tumbuhan yang mudah dijaga dan tahan lasak, terutama jika pemilik bekerja dan tidak mempunyai banyak masa di rumah,” katanya.

Secara amnya semua jenis tanaman edibel yang boleh ditanam di dalam bekas tanaman (sama ada pasu, kotak penanaman beg poli atau bekas kitar semula) boleh ditanam di balkoni atau mana-mana ruang yang ada dalam bangunan bertingkat.

Katanya, seelok-eloknya pemilik perlu kenali sifat tumbuhan. Ada spesies tumbuhan memerlukan sinaran matahari yang tidak terhalang dan ada tanaman memerlukan sedikit teduhan atau teduhan penuh. Jika boleh sediakan bidai di balkoni sebagai tabir sinaran matahari.

“Perlu juga diingatkan untuk unit rumah di tingkat yang tinggi, tiupan angin lebih kuat dan pancaran matahari lebih terik, jadi tumbuhan dan tanahnya mudah mengering. Siraman air perlu lebih kerap. Pastikan juga menggunakan pasu yang berat kerana pasu yang ringan mudah terbalik apabila ditiup angin kencang.

“Hindarkan tumbuhan yang ‘manja’ dan memerlukan perhatian yang khusus. Elakkan memilih pokok semusim yang hanya berbunga semusim dan perlu dibuang selepas itu. Adalah lebih baik menanam sayuran dan herba yang setelah membesar dapat dituai hasilnya. Antara spesies yang mudah ditanam ialah bawang, cili padi, ketumbar dan selasih,” katanya.

Untuk memberikan nilai estetika atau kecantikan kepada ruang landskap edibel yang kecil, utamakan variasi rupa bentuk, warna dan juga bau. Untuk variasi saiz dan rupa bentuk, pilih spesis pokok yang mempunyai saiz dan jenis daun yang berbeza.

“Serai mempunyai daun yang panjang, sayur berdaun seperti kailan agak besar dan lebar manakala pudina mempunyai daun yang lebih bundar dan kecil. Variasikan warna dengan membuat gabungan komposisi warna hijau dan warna lain seperti bayam merah, tomato, cili padi dan salad merah.

“Dalam ruang yang kecil, bau daripada pelbagai tumbuhan seperti pudina, serai dan rosemary akan memberikan sensasi olfaktori apabila berada di ruang landskap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 6:30 AM