BANTU penghuni menikmati kehijauan.
BANTU penghuni menikmati kehijauan.
KONSEP tanaman dalam perabot.
KONSEP tanaman dalam perabot.
Aniza Zainudin


Suntikan elemen hijau dan segar antara faktor penting dalam dekorasi kediaman yang berupaya mengurangkan penguasaan batuan konkrit sekali gus membangkitkan ketenangan.

Justeru, trend landskap taman dalam kediaman antara aliran dekorasi terkini yang menjadi kegemaran hampir kebanyakan masyarakat negara ini.

Apatah lagi kita sering kali disogokkan ilham taman dalam kediaman hanya terhad kepada ruang rumah berkapasiti besar seperti villa, banglo, teres, suite atau rumah di desa semata-mata.

Padahal kediaman bersaiz sederhana dan kecil seperti studio, apartmen serta pangsapuri mampu menzahirkan transformasi yang sama.

Gara-gara ruang yang terhad, ia seakan-akan membataskan kreativiti pemilik rumah untuk berkarya dengan menerapkan konsep taman dalam bangunan.

Peka dengan situasi itu, Deep Furniture Sdn Bhd bekerjasama dengan pereka Itali terkenal, Manolo Bossi memperkenalkan koleksi Naturalia.

Koleksi Naturalia memiliki reka bentuk industri, konsep bersederhana dan pelbagai fungsi diilhamkan dari kafe kecil beroperasi di Muar, Johor.

Sentuhan tambah nilai pada rekaan perabot taman dengan memanfaatkan ruang menjadi tarikan utama bagi koleksi ini.

Perabot santai ini dihasilkan daripada besi yang digabungkan bersama papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) memiliki ruang khas untuk diletakkan tanaman atau pokok hiasan di dalamnya.

Pengarah Urusannya, Candice Lim berkata konsep taman dalam bangunan ini bertujuan memanfaatkan ruang dengan pengisian perabot landskap dua dalam satu.

“Berbanding konsep sedia ada, inspirasi taman dalam kediaman sering meletakkan tanaman atau aksesori perhiasan bersebelahan perabot atau sudut.

“Menerusi idea baru ini, kita mendapat ilham untuk mereka perabot yang membolehkan tanaman atau hiasan diletakkan di dalam perabot berkenaan.

“Inovasi yang mampu menjimatkan penggunaan ruang ini menjadi alternatif kepada pemilik kediaman atau penggemar dekorasi menata hias sudut rumah pilihan masing-masing.

“Bagi penghuni seperti di kondominium, apartmen mahupun studio, mereka masih boleh menikmati elemen kehijauan taman menerusi penggunaan perabot seperti ini.

“Dekorasi perabot taman ini tidak terhad di balkoni bahkan ia boleh diletakkan sama ada di ruang tamu, bilik tidur, mahupun dapur mengikut kreativiti dan cita rasa peribadi,” jelasnya.

Katanya lagi, menjalani kehidupan dengan persekitaran segar boleh mempengaruhi minda dan kesihatan penghuni yang menawarkan ketenangan, gaya hidup santai serta mengurangkan pemandangan hutan konkrit.

Menyifatkan trend tanaman dalam perabot masih baru sama ada di Malaysia mahupun Eropah, beliau yakin idea seperti ini bakal berkembang berikutan maklum balas positif diterima sebaik melihat rekaan moden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 2:06 PM