TAYAR terpakai menjadi tempat tanaman pokok yang berada di hadapan kediaman masing-masing.
TAYAR terpakai menjadi tempat tanaman pokok yang berada di hadapan kediaman masing-masing.
BAHAGIAN depan rumah dihiasi pokok bunga kertas.
BAHAGIAN depan rumah dihiasi pokok bunga kertas.
Hartini Mohd Nawi


Minat mendalam terhadap dunia landskap membuatkan wanita ini tidak betah untuk duduk diam selain menjadikan laman di kediamannya sebagai ruang menggarap kreativiti sebaik mungkin.

Tidak kira pagi atau petang, jika ada kelapangan waktu Nor Azimah Nawi, 40, pasti berada di laman untuk penyelenggaraan biarpun sekadar membersihkan daun kering dan menyiram pokok.

Menerapkan idea penataan yang menarik dan mementingkan keselesaan pergerakan sebaik berada di laman kediaman di Kuantan, Pahang ini mempunyai cerita landskap tersendiri.

“Lain orang lain minatnya. Mendekati tanaman bagaikan terapi yang cukup memberikan ketenangan kepada saya begitu juga suami dan anak.

“Boleh dikatakan separuh daripada masa dalam sehari saya habiskan di laman,” kata ibu kepada lima cahaya mata ini.

Lengkap dengan kolam mini air berpancuran, ruang bersebelahan pintu masuk rumah menyajikan suasana sedap mata memandang.

 SETIAP ruang taman mempunyai fungsi tersendiri.
SETIAP ruang taman mempunyai fungsi tersendiri.

Sepasang kerusi santai jati pula menjadi tempat berehat sambil menikmati keindahan persekitaran laman.

Beberapa tanaman pilihan, dekoratif bunga dalam pasu kecil digantung pada dinding dan ornamen kulat menambahkan seri ruang itu.

Bersebelahan pintu masuk rumah pula, pasu hiasan besar dipenuhi dekoratif ranting benar-benar mencuri tumpuan.

Nyata penataan yang ringkas dan kemas di ruang itu menampakkan ia mesra penghuni.

 SUSUN atur ringkas tapi menarik.
SUSUN atur ringkas tapi menarik.

“Sekurang-kurangnya tanaman di ruang ini memberikan udara segar dan menyejukkan persekitaran.

“Susun letak di ruang ini pula begitu bersahaja dan ringkas supaya sesiapa saja yang bersantai lebih selesa.

“Lagipun, penataan begini lebih mudah diselenggara tanpa mengambil masa yang terlalu lama,” kata anak kelahiran Besut, Terengganu ini.

Lebih mengujakan laman depan itu turut digunakan untuk menanam pelbagai tanaman termasuk kegunaan dapur seperti kunyit, halia, serai, cekur, pandan, kantan, serai kayu dan ulam raja serta pokok buah-buahan.

“Latar ini bukan sekadar meneduhkan, malah memberi peluang kepada anak saya lebih mendekati dunia landskap yang kaya dengan kepelbagaian tanaman dan kegunaannya,” katanya yang turut mendapat sokongan suami tercinta Abd Rashid Abu Bakar, 44.

Bagaimanapun, pencinta dunia landskap ini hakikatnya tidak berseorangan kerana jirannya turut berkongsi minat yang sama.

Saban waktu, idea penataan laman sering menjadi topik perbualan saat mereka bertemu.

Buktinya persekitaran kejiranan depan kediaman masing-masing tidak dibiarkan kosong.

KOMBINASI tanaman hijau yang menarik.
KOMBINASI tanaman hijau yang menarik.

Inisiatif Projek Bumi Hijau itu diserikan dengan pelbagai tanaman seperti serai, kunyit, lengkuas dan pandan.

Apabila ia memperlihatkan perkembangan positif, beberapa tanaman berbunga dan berdaun hijau pula diketengahkan.

Selain khidmat nasihat pegawai Pejabat Pertanian Daerah Kuantan, projek berkenaan turut menerima bantuan benih, anak pokok, perkakasan pertanian, tanah, pasir dan tinja ayam.

“Berkat kesungguhan Projek Bumi Hijau ini berjaya dalam pertandingan Kitchen Garden/Edible Landscape 2009 kategori Komuniti Peringkat Negeri Pahang (JOHAN) dan Peringkat Kebangsaan (Naib Johan).

“Sesuai dengan perubahan masa, bermula akhir 2015 projek ini ditukar kepada Pertanian Bandar,“ kata Nor Azimah.

Dekotaman jadi rujukan utama

Lebih membanggakan apabila sisipan Dekotaman ini menjadi rujukan paling utama Nor Azimah dari setiap pilihan tanaman, reka bentuk hingga aspek penyelenggaraan laman.

“Jujur, saya sentiasa mengikuti perkembangan dan mengutip sebanyak mungkin ilmu yang dikongsi di ruangan ini.

“Tidak hanya saya, malah jiran-jiran juga tidak ketinggalan mendapatkan Harian Metro khususnya setiap Sabtu,“ katanya.

NOR Azimah sering meluangkan masa untuk penyelenggaraan laman.
NOR Azimah sering meluangkan masa untuk penyelenggaraan laman.

Dalam melengkapkan ilmu landskap beliau turut menjadikan majalah dan buku 1001 Garden Plant In Singapore sebagai rujukan tambahan.

“Paparan dunia landskp taman sama ada dalam dan luar negara dalam Dekotaman juga memberi panduan kepada saya dan jiran untuk menzahirkan kediaman dengan penataan menarik,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 8:27 AM