MENARIK sebagai tanaman hiasan.
MENARIK sebagai tanaman hiasan.
Faizal Zain

Salam deko buat semua. Minggu lalu saya mengulas mengenai tumbuhan kuping gajah yang menjadi antara tanaman hiasan pilihan. Pada minggu ini juga masih berkisar berkenaan tumbuhan yang popular sebagai tanaman hiasan di negara ini. Satu daripadanya pokok lidah buaya nama saintifiknya aloe vera. Malah, turut dikenali sebagai ‘cape aloe’ yang berasal dari keluarga ‘lily’ dan berair dengan daun yang tebal serta berduri kelihatan seperti pokok kaktus.

Rahsia keajaibannya terletak pada nutrien dan bahan penting termasuk air, vitamin A, B, C, dan E. Malah, dikatakan mengandungi lebih daripada 20 mineral yang secara tidak langsung membuatkan ia bukan saja unik, menarik sebagai tanaman hiasan serta penawar. Campuran tanaman ini juga biasanya diproses dan diguna pakai sebagai ramuan untuk produk kecantikan serta ubat-ubatan. Malah, tanaman ini sering dikait sebagai penggunaan dalam penghasilan ubat herba sejak awal abad pertama Masihi. Ia juga dikatakan mungkin berasal dari Afrika Utara.

Kajian menunjukkan lidah buaya berkesan membantu merawat pelbagai penyakit. Apabila digunakan secara luaran, ia sangat berkesan untuk membantu merawat termasuk gigitan serangga, jerawat, selaran matahari, ruam, parut, cela dan kudis. Lidah buaya memerlukan cahaya matahari lapan hingga 10 jam sehari.

Sementara pertumbuhan yang paling baik adalah pada suhu hangat atau panas. Namun tanaman ini juga mampu bertahan dan hidup pada cuaca sejuk tapi bukan di bawah negatif empat darjah Celsius.

Jika anda menanam pokok lidah buaya di dalam pasu, pastikan bekas tanaman itu mempunyai lubang pada dasarnya supaya sistem pengaliran air sempurna. Ini kerana pengaliran air yang tidak sempurna boleh menyebabkan tanah di dalam bekas tanaman itu basah dan lembap. Ini kerana kondisi tanah yang sentiasa lembab boleh menyebabkan tanaman itu cepat mati. Jika daunnya tumbuh mendatar atau rapat ke tanah itu bermakna ia memerlukan cahaya matahari yang banyak. Daun lidah buaya seharusnya tumbuh meninggi atau melebar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 7:04 AM