GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Barisan kabinet baharu yang dilantik perlu mempunyai rangkaian yang baik dan akrab dengan pelabur luar negara mahupun ahli perniagaan tempatan bagi membantu menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara terutama dengan saingan negara jiran di Asia Tenggara yang semakin sengit.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Malaysia terus ketinggalan dari segi jumlah FDI dalam tempoh sedekad yang lalu berbanding negara Asia Tenggara lain.

Katanya, barisan kabinet baharu juga adalah sangat kritikal untuk mengepalai cabaran ekonomi ini, kestabilan politik menjadi tunjang supaya kabinet mempunyai kekuatan politik untuk berani membuat perubahan kepada sektor ekonomi.

"Misalnya, mengurangkan kebergantungan kepada warga asing, menurunkan import barangan makanan dan mempercepatkan peralihan kepada industri pengeluaran dan pertanian.

"Ini juga pasti dapat membantu memperbaiki keterjaminan makanan, menangani inflasi, meningkatkan pendapatan, menambah peluang pekerjaan dan pelbagai lagi isu ekonomi yang kritikal untuk diperbaiki.

"Unjuran ramai pihak termasuklah Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menjangkakan ekonomi global menghadapi kemelesetan ekonomi tahun 2023 dan mungkin menjangkau ke tahun 2024 dan pastinya Malaysia tidak terkecuali sebagai negara berekonomi terbuka.

"Apatah lagi Malaysia berkedudukan di tempat ke-25 sebagai negara perdagangan dunia sama ada eksport mahupun import," katanya.

"Sebarang faktor yang memberi kesan besar kepada dunia pastinya memberikan kesan kepada Malaysia, misalnya turun naik harga komoditi disebabkan krisis Rusia-Ukraine turut memberi kesan kepada negara seperti harga minyak mentah, arang batu serta jagung," katanya kepada Bisnes Metro.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut memegang jawatan Menteri Kewangan (MOF) pada masa ini bertepatan kerana mungkin memikirkan bahawa negara sedang melalui tempoh yang kritikal untuk menetapkan hala tuju ekonomi dan kewangan di saat pelbagai cabaran ekonomi dunia serta domestik melanda negara.

"Dengan kelebihan 'networking' beliau terutama di luar negara, ia perlu diguna pakai atau dimanfaatkan untuk memperbetulkan kewangan negara seperti menurunkan hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion dan menarik pelabur asing supaya datang ke Malaysia.

"Kerajaan melalui dasar fiskal tidak boleh terus berbelanja dengan meningkatkan hutang untuk membangunkan ekonomi negara, ia perlu diimbangi dengan wang pelaburan terutama dari luar negara yang lebih banyak dari dahulu.

"Penasihat yng dilantik juga berupaya untuk membantu MOF bagi mencipta formula yang lebih mantap dan terkini untuk menarik FDI, termasuk bersaing dengan negara jiran di Asean yang kini lebih berjaya dalam menarik FDI ke negara masing-masing.

"Selain itu, berdasarkan langkah pertama Anwar Ibrahim untuk menubuhkan dan mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, menunjukkan beliau menetapkan prioriti mencari jalan menangani kenaikan kos sara hidup yang menjadi agenda utama.

"Sudah pasti dasar fiskal di dalam kawalannya secara langsung melalui MOF dan juga dasar monetari yang diamanahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) turut melaporkan secara langsung kepada beliau sebagai Perdana Menteri dan menteri kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 10:49 AM