Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mengikut laporan "Bursa Top 20: Who's The Most Charitable?" oleh Wiki Impact, 20 syarikat teratas di Bursa Malaysia menderma sebanyak RM159.69 juta secara tunai pada 2021.

Sime Darby, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan CIMB merupakan antara penyumbang utama pada 2021 manakala purata peratusan pemberian tunai berbanding keuntungan bersih adalah 0.29 peratus, demikian menurut laporan itu.

Sime Darby Bhd merupakan penyumbang tunai terbesar pada 1.40 peratus (pemberian tunai berbanding keuntungan bersih) dengan RM20 juta daripada RM1.42 bilion keuntungan bersih disalurkan kepada badan amal serta inisiatif sosial dan alam sekitar lain.

"Selain itu, Tenaga Nasional Bhd meraih keuntungan bersih sebanyak RM3.66 bilion dan menyumbang lebih RM39.57 juta bagi derma secara tunai, melebihi 1 peratus pemberian tunai berbanding ambang keuntungan bersih," kata laporan itu.

Senarai 20 syarikat teratas Bursa itu yang merupakan syarikat berpendapatan tertinggi yang disenaraikan di bursa saham Malaysia dengan keuntungan dan operasi perniagaan yang besar juga merupakan penyumbang terbesar di Malaysia ketika negara menghadapi cabaran ekonomi dan sosial yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Pengasas bersama Wiki Impact, Terence Ooi berkata, 20 syarikat teratas Bursa ini banyak memberi sumbangan yang mencerminkan pertanggungjawapan sosial korporat dan alam sekitar yang kukuh.

Beliau berkata laporan itu menetapkan garis asas dan menyediakan visi bagi syarikat lain untuk mengikut contoh teladan.

"Pelaporan berasaskan bukti ini bukan sahaja menonjolkan sumbangan korporat di Malaysia tetapi juga memberi dorongan kepada lembaga pengarah akan kepentingan bagi syarikat yang meraih keuntungan untuk memberi sumbangan secara tunai dan menjadi telus tentang bagaimana mereka melakukan perubahan," kata Ooi.

Selain sumbangan tunai, laporan itu menyatakkan bahawa syarikat juga menyumbang dalam bentuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), makanan, produk dan perkhidmatan untuk menyokong kakitangan, masyarakat dan komuniti yang terjejas akibat pandemik.

Bantuan Covid-19 dan bantuan kewangan merupakan sumbangan terbesar yang disalurkan syarikat-syarikat pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:22 AM