Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedudukan ekonomi Malaysia pada ketika ini berada di landasan yang kukuh dan stabil, walaupun diancam ketidakstabilan ekonomi global yang dicetuskan oleh ketegangan geopolitik dan faktor luar.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif mengawal pergerakan ekonomi semasa bagi memelihara kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta dan awam telah berjaya menyokong perniagaan tempatan dan merangsang ekonomi melalui dasar yang responsif dan bertanggungjawab serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang baik pada kadar 8.9 peratus dengan kadar pengangguran 3.7 peratus.

"Ini termasuklah sokongan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), khususnya pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik (PGG) sebagai garis panduan kemampanan tadbir urus GLIC," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat (LKR) Ke-113 di sini hari ini.

Katanya kerajaan bertekad mencapai aspirasi negara ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2025, mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, menjadi negara rendah karbon menjelang 2040, seterusnya mencapai karbon sifar menjelang 2050.

Beliau berkata nilai aset alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka mencecah US$53 trilion menjelang 2025.

Katanya pelabur institusi telah membawa pengaruh kolektif yang berkembang dengan nilai hampir RM2.2 trilion aset di bawah pengurusan dan kira-kira RM750 bilion dalam bursa saham tempatan, iaitu merupakan pengaruh yang cukup besar terhadap peralihan kelestarian.

"Tadbir urus korporat yang berkesan juga adalah komponen penting dalam prinsip ESG untuk membantu memastikan dasar, proses dan struktur yang sesuai disediakan untuk perniagaan kekal berdaya saing dan mampan dalam jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.96 bilion kepada 358,089 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Mengenai Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP), katanya di bawah Bajet 2022, program itu menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mulai Januari 2022.

"Setakat 9 Sept 2022, sebanyak 63,593 personel telah berjaya ditempatkan dengan 36,781 personel telah ditempatkan di sektor awam manakala 26,812 personel pula ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan dan rakan-rakan strategiknya," katanya.

Tengku Zafrul berkata Bank Dunia telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2022 daripada 5.5 peratus sebelum ini kepada 6.4 peratus.

Katanya ini berikutan terdapat peningkatan dalam permintaan domestik yang dipacu oleh kemajuan dalam pasaran pekerjaan susulan peningkatan gaji minimum.

"Semakan semula unjuran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terkini iaitu pertumbuhan pada suku kedua yang kukuh mengatasi jangkaan sebanyak 8.9 peratus.

"Namun, Bank Dunia berpendapat tiada penyelesaian yang cepat dan mudah kepada kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sebaliknya apa yang boleh dilakukan adalah memberi tumpuan mengukuhkan asas ekonomi dan melaksanakan pembaharuan struktur," katanya.

Beliau berkata ini juga penting bagi mengawal inflasi makanan memandangkan sebahagian besar perdagangan Malaysia terutamanya import dalam denominasi dolar AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:57 PM