Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - FOTO NSTP
Lizam Ridzuan


Shah Alam: Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dilantik sebagai pengedar kenderaan tenaga baharu (EV) premium Smart Automobile Company (Smart) untuk pasaran Malaysia dan Thailand, bermula suku keempat tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, model pertama Smart akan dilancarkan pada suku keempat 2023 di Malaysia sebelum mula memasuki pasaran Thailand pada pertengahan 2024.

"Fasa pertama ini bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman dalam pengendalian servis dan pengecasan EV.

"Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu Proton ke arah mesra alam sejajar dengan sasaran neutraliti karbon kerajaan menjelang 2050," katanya selepas majlis menandatangani Perjanjian Pengedaran Am dengan Smart Automobile di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Model Smart #1.
Model Smart #1.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, bagi peringkat permulaan, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 800 hingga 1,000 unit setahun atau sekitar 10,000 unit sehingga 2027.

Beliau berkata, hanya satu model import sepenuhnya (CBU) yang ditawarkan ketika ini iaitu #1 Smart sebelum mengembangkannya ke model-model lain.

"Untuk permulaan apa yang penting ketika ini adalah meningkatkan kesedaran pembeli mengenai kepentingan kenderaan EV dan pengukuhan infrastruktur EV di Malaysia," katanya.

Roslan berkata, model berkenaan akan tersedia untuk tatapan umum pada suku kedua tahun hadapan sebelum tempahan dibuka.

"Mengenai harga pula, ia akan diumumkan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:26 PM