MAHMUD Abbas. FOTO arkib NSTP
MAHMUD Abbas. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina satu bangunan yang direka bentuk sebagai pusat sehenti kepada usahawan yang sedang meningkat naik di bawah program PKNS.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mahmud Abbas berkata sebagai cabang pembangunan Selangor, PKNS akan terus menyokong usaha negeri itu untuk mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Bagi meneruskan komitmen untuk menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi negeri, PKNS telah menyokong lebih 41,000 pemilik perniagaan menerusi pelbagai program sepanjang tempoh 27 tahun lepas serta komited untuk menyokong pertumbuhan sosial dan ekonomi negeri berpandukan rancangan pemulihan yang menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini sempena ulang tahun PKNS ke-58.

Sehingga kini, PKNS mempunyai 13 anak syarikat meliputi sektor perumahan dan pembangunan, hartanah, pembinaan, kejuruteraan pemborongan, peruncitan, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan dan rekreasi.

Selain itu, dengan kira-kira 2,000 klinik di bawah Selgate Corporation, PKNS menetapkan sasaran untuk membangunkan lebih banyak kemudahan penjagaan kesihatan serta meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan sedia ada.

Ia turut berhasrat menilai kerjasama strategik dalam bidang pelaburan dan pegangan ekuiti serta perkhidmatan pengurusan dan pentadbiran penjagaan kesihatan untuk kakitangan korporat bagi menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Selgate ialah anak syarikat milik penuh PKNS.

Mahmud berkata, PKNS bercadang membangunkan kemudahan bantuan kehidupan melalui pelancaran Hospital Selcare sebagai permulaan kepada usaha itu.

Hospital tersebut akan memberi tumpuan untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan, dengan matlamat untuk mencipta nilai kepada ekonomi negeri, membawa manfaat kepada rakyat Selangor dan komuniti bersasar.

Daripada kemudahan penjagaan khusus sehingga pelbagai kemudahan dan aktiviti sosial dan rekreasi, PKNS berhasrat untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan penduduk di semua peringkat usia.

"PKNS tetap yakin dengan rancangan pemulihan strategiknya yang pelbagai. Penyumbang utama rancangan pemulihan kami terletak kepada pendekatan menyeluruh kami yang pelbagai.

"Selain daripada tumpuan utama untuk membina kediaman mampu milik, PKNS turut berusaha mengukuhkan kedudukan secara agresif dalam pelbagai sektor lain," kata Mahmud.

Selangor memperlihatkan isyarat pemulihan pada 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak lima peratus berbanding 2020.

Ia kekal sebagai ekonomi terbesar di Malaysia dengan nilai tambah mencecah RM343.5 bilion berbanding RM327.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 2:47 PM