GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menjalinkan perkongsian dengan KVC Industrial Supplies Sdn Bhd (KVC) untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik (EV) di negara ini dengan membekalkan pengecas bagi kemudahan pengecasan EV.

Dalam kenyataan, Huawei Malaysia menjelaskan perkongsian itu akan menyaksikan KVC mengambil peranan sebagai pembeli utama dan rakan kongsi pemenuhan yang akan melaksanakan pemerolehan dan penempatan pengecas EV manakala Huawei Malaysia pula sebagai penyedia teknologi selain mentadbir urus latihan produk untuk KVC.

Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) perkongsian itu ketika di luar Kongres Inovasi Digital Asia Pasifik Huawei 2022 yang diadakan di Singapura, pada Jumaat.

KVC diwakili Pengarah Urusan Negara, Eddie Wong Kok Leong manakala Huawei Malaysia oleh Naib Presiden (Kuasa Digital), Chong Chern Peng.

Wong berkata menerusi pemeteraian MoU itu, KVC dan Huawei berpeluang untuk memanfaatkan dan menyepadukan teknologi masing-masing ke arah menggalakkan mobiliti rendah karbon.

"KVC telah menjual dan menempatkan lebih 150 terminal cas di seluruh negara iaitu di kawasan kediaman, komersial dan perindustrian. Kami berusaha memberikan lebih banyak lagi untuk mengukuhkan nilai kami sebagai 'Committed to People and the Planet' (Komited kepada Insan dan Bumi)," katanya.

Sementara itu, Chong berkata Huawei menyasar untuk membangunkan ekosistem rakan kongsi bagi meningkatkan kualiti infrastruktur tempatan dengan tawaran produk dan penyelesaian syarikat daripada Kuasa Digital seterusnya bergerak ke arah peralihan paradigma neutraliti karbon.

"Dalam pelan hala tuju industri automotif, EV dianggap masa depan industri automotif. Susulan lonjakan permintaan terhadap EV di pasaran Malaysia, usaha membolehkan lebih banyak pengecasan EV telah menjadi satu keperluan, dan merupakan elemen penting dalam meningkatkan keyakinan segmen pengguna untuk beralih kepada EV," katanya.

Beliau berkata Huawei sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi membangunkan ekosistem holistik demi mempertingkatkan rangkaian pengecasan EV di Malaysia.

Ia berlandaskan matlamat utama untuk menyokong usaha kerajaan dan pembuat EV swasta serta rakan kongsi menambah baik pengalaman pengecasan EV dalam kalangan pengguna, katanya.

Huawei dilaporkan komited untuk membina platform pengecas super voltan tinggi yang menyediakan 10 minit pengecasan dan 200 kilometer pemanduan kepada EV.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 3:08 PM