Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah
Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini, dijangka tidak menjejaskan peminjam koperasi di negara ini yang menggunakan sumber dalaman.

Bagaimanapun, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya tidak dapat memberi jaminan itu sekiranya badan koperasi berkenaan menggunakan sumber dana daripada institusi kewangan.

"Kenaikan OPR akan menyebabkan peningkatan caj yang dikenakan ke atas peminjam...namun bagi koperasi ia melibatkan dua konteks (secara sumber dalaman dan menerusi sumber institusi kewangan).

"Sumber dalaman itu adalah sumbangan ahli-ahli koperasi itu sendiri seperti saham atau pelaburan khas dan (kenaikan OPR) itu tidak memberi sebarang kesan.

"Keadaan sebaliknya sekiranya koperasi menggunakan sumber daripada pinjaman institusi kewangan lain yang ditawarkan kepada ahli dalam bentuk pinjaman peribadi yang akan mengalami kenaikan kadar pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pemeteraian perjanjian persefahaman usaha sama bagi Projek Residensi Koperasi Felcra di Pusat Komuniti Setiawangsa di sini, semalam.

Mengulas selanjutnya, Abdul Fattah menyifatkan koperasi yang tidak terjejas dengan kenaikan OPR itu sebagai satu kelebihan kerana mampu menjana dana daripada sumber dalaman masing-masing.

"Sekiranya koperasi itu mempunyai banyak sumbangan daripada ahli-ahlinya, ini akan turut memberi peluang untuk meluaskan lagi pasarannya," kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 12:11 PM