SEBAHAGIAN pelajar UTAR yang menerima kit kebersihan diri MR DIY.
SEBAHAGIAN pelajar UTAR yang menerima kit kebersihan diri MR DIY.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY) terus komited dalam memastikan keselamatan pelajar meneruskan pembelajaran dalam situasi pandemik menerusi inisiatif #DIY4UTAR.

Menerusi inisiatif berkenaan, pihaknya menghulurkan sumbangan kit kebersihan diri MR DIY yang mengandungi dua kotak pelitup muka tiga lapis, sebotol pensanitasi tangan dan dua set kit ujian kendiri calitan hidung kepada 3,817 pelajar dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) Sungai Long.

Ketua Pemasaran MR DIY, Alex Goh berkata, MR DIY menyedari keperluan membantu pelajar membuat persiapan kembali semula ke kampus.

"Kami berhubung dengan Utar menerusi inisiatif #DIY4UTAR dan gembira dengan sambutan positif yang diterima.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pentadbiran Utar kerana memastikan pengagihan kit kebersihan diri dijalankan dengan keadaan selamat dan efisien.

"Kami ingin membantu pelajar supaya kekal selamat dan dapat meneruskan sesi pembelajaran serta berharap agar #DIY4UTAR akan memberi inspirasi kepada syarikat lain untuk melakukan perkara sama bersama sekolah dan institusi pengajian tinggi yang lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini bekerjasama dengan beberapa organisasi sepanjang pandemik bagi memastikan golongan yang memerlukan memperoleh barangan keperluan harian untuk kekal selamat.

Menurutnya, MR DIY turut memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan, anggota badan beruniform negeri tertentu seperti Sabah yang mencatatkan kadar jangkitan tinggi serta komuniti yang memerlukan seperti golongan miskin dan warga emas.

MR DIY sebelum ini juga menjalin usaha sama dalam #DIY4UM bersama Kumpulan Touch 'n Go (Touch 'n Go) dan Universiti Malaya (UM) dengan mengedarkan bantuan tunai kepada 12,000 pelajar dalam persiapan untuk kembali ke kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 7:01 AM