Datuk Nk Tong. FOTO Saifullizan Tamadi
Datuk Nk Tong. FOTO Saifullizan Tamadi
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Harga kediaman bertingkat baharu dijangka lebih tinggi berbanding projek kediaman bertanah berikutan kenaikan harga bahan binaan di pasaran.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk NK Tong berkata, projek kediaman bertingkat juga memerlukan penggunaan bahan binaan yang lebih banyak seperti besi dan konkrit.

Katanya, harga bahan binaan menjadi fokus perbincangan utama kerana sejak dua tahun kebelakangan ini harganya naik agak tinggi, lebih-lebih lagi kesan daripada pandemik.

"Sukar untuk mengatakan harga rumah akan naik sekitar 10 ke 20 peratus berikutan harga bahan binaan yang naik pada kadar sama kerana ia bergantung kepada projek masing-masing.

"Namun, apa yang saya boleh katakan impak kenaikan harga bahan binaan ini akan memberi kesan terhadap harga projek kediaman bertingkat kerana lebih banyak bahan besi dan binaan lain diperlukan untuk pembanganun berkenaan.

"Berbanding rumah bertanah komponen utama yang menentukan kos kediaman ialah harga tanah itu sendiri," katanya kepada media ketika ditemui di Persidangan Pemaju Hartanah Tahunan Siri CEO 2022 di sini, semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai Kempen Pemilikan Rumah (HOC), Tong berkata pihaknya menyerahkan semua keputusan sama ada untuk melanjutkan kempen terbabit tahun ini kepada kerajaan.

Menurutnya, sambutan yang diterima daripada orang ramai terhadap HOC begitu memberangsangkan terutama pembeli rumah pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:49 AM