Pesawat Malaysia Airlines. FOTO ARKIB NSTP
Pesawat Malaysia Airlines. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mahanum Abdul Aziz

Petaling Jaya: Malaysia Airlines Bhd (MAB) kini berada dalam kedudukan yang baik dengan kejayaan penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu menyaksikan aliran tunainya berada dalam kedudukan positif pada Oktober lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail.

"Malaysia Airlines kini mantap dan tangkas serta bersedia untuk masa depan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk terus mampan dan untung.

"Strategi kami adalah mengekalkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan premium bertumpu di Asia Pasifik. Kami mahu mengukuhkan kedudukan dalam pasaran domestik dan Asean," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MAG dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di sini, semalam.

Mengenai MoU yang dimeterai antara MAG dan STB, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia membolehkan STB dan MAG bekerjasama untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dengan menggalakkan pelancongan antara negeri.

Beliau berkata, kesambungan dan akses adalah elemen penting untuk meningkatkan pengalaman pengembaraan dan meletakkan Sarawak sebagai destinasi utama bagi eko-pelancongan tempatan dan serantau.

Katanya, menerusi kerjasama STB dan MAG itu akan meningkatkan kesambungan ke Sarawak dengan lebih banyak penerbangan secara langsung ke negeri itu.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya meningkatkan kesambungan ke dan dalam Sarawak, dengan pelaksanaan penerbangan langsung dari Pulau Pinang ke Kuching, dan meningkatkan kekerapan Miri-Sibu-Bintulu, yang menyediakan mobiliti lebih baik kepada Sarawak dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri itu.

Sempena MoU itu, STB melancarkan kempen pengembaraan antara negeri, Sia Sitok Sarawak Plus untuk memberikan pengembara peluang melawat Sarawak menerusi pintu masuk pelancongan utamanya iaitu Kuching, Sibu dan Miri dengan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi.

Pengguna boleh menikmati pakej hotel dan penerbangan menarik menerusi MHholidays dan tempoh tempahan bagi kempen itu bermula 19 Januari 2022 sehingga 28 Februari 2022 untuk perjalanan segera sehingga 30 April 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:54 AM