Bank Rakyat
Bank Rakyat

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menawarkan pulangan tunai lima peratus menerusi kempen Petrol Khamis! (Fuel Thursday!) bagi pelanggan yang berbelanja menggunakan Kad-Kredit-i Bank Rakyat bagi setiap transaksi pembelian petrol dan barangan lain di semua stesen minyak di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat boleh menikmati tawaran itu pada setiap Khamis bermula 13 Januari sehingga 5 Mei depan.

"Lebih menarik, bagi setiap transaksi yang dilakukan, tiada perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk menikmati manfaat pulangan tunai ini. Lebih banyak berbelanja, lebih banyak pulangan tunai yang menanti. Pembelian di stesen minyak itu mestilah barangan patuh syariah," katanya.

Menurutnya, penyertaan bagi kempen itu adalah secara automatik dan tidak memerlukan pendaftaran.

"Semua pulangan tunai dikreditkan pada penyata bulanan yang berikutnya dan manfaat pulangan tunai adalah tanpa had.

"Tiada had bulanan yang dikenakan sepanjang tempoh kempen berlangsung," katanya.

Syed Abdul Aziz berkata, kempen ini bertepatan dengan konsep 'Keluarga Malaysia' yang diperkenalkan kerajaan, sekali gus melambangkan komitmen dan keprihatinan Bank Rakyat dalam meringankan beban kewangan masyarakat terutamanya kepada golongan yang terjejas banjir baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:43 AM