ALEXANDER menurunkan tandatangan selepas merasmikan Sistem Kontena Mudah Alih Mini (PCS Mini).
ALEXANDER menurunkan tandatangan selepas merasmikan Sistem Kontena Mudah Alih Mini (PCS Mini).

Kuala Lumpur: ROVR, perkhidmatan pengisian semula mudah alih daripada Petronas Dagangan Bhd (PDB) sudah melancarkan Sistem Kontena Mudah Alih Mini (PCS Mini) pertamanya dengan kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyediakan akses bahan api yang lebih mudah kepada penduduk Kampung Limbawang, Beaufort, Sabah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, PCS Mini ini direka untuk menyediakan perkhidmatan di kawasan terpencil, yang terletak 10 kilometer atau lebih dari stesen minyak, sebagai sebahagian daripada Pelan Pembangunan Luar Bandar ROVR dan program dram komuniti kementerian, yang bertujuan bagi memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada keperluan asas yang mencukupi pada harga yang sama seperti di kawasan bandar.

"Dengan akses yang lebih mudah kepada bahan api pada harga pam runcit, masyarakat luar bandar akan dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan mudah, sekali gus membantu mempromosikan pembangunan usahawan berskala kecil dan meningkatkan ekonomi tempatan," katanya dalam kenyataan selepas majlis pelancaran yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pada fasa perintis bermula akhir November 2021, PCS Mini dengan kapasiti 5,000 liter, yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 7 malam, telah melayani hampir 3,500 kenderaan dan mengagihkan lebih 30,000 liter bahan api setakat ini.

PDB merancang untuk memperluaskan inisiatif ini ke lebih banyak kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak dengan tapak yang mempunyai jarah sejauh 50 kilometer dari stesen minyak terdekat.

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kementerian untuk memperkenalkan PCS Mini di Beaufort, Sabah. Pelancaran penyelesaian inovatif ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha kami bagi memastikan akses tenaga yang penting untuk menjana pertumbuhan sosial dan ekonomi.

"Tambahan pula, ROVR telah terbukti penting ketika krisis, berkhidmat di kawasan larangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk kawasan yang dilanda banjir, dan pelancaran ini mengesahkan lagi strategi kami untuk menyediakan penyelesaian perniagaan yang kukuh yang juga memenuhi keperluan masyarakat dan selaras dengan janji kami bagi menjadikan hidup anda lebih mudah serta lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:00 AM