Cawangan Daiso di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Harun
Cawangan Daiso di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Harun
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

AEON Co (M) Bhd menyasarkan untuk membuka lima hingga 10 cawangan baharu Daiso by Aeon di seluruh negara, sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Aeon Co (M) Bhd Sunny Setiawan berkata, pihaknya membuka cawangan terbaru Daiso by Aeon di pusat beli-belah Tropicana Gardens Mall di sini pada Oktober lalu.

"Kami mempunyai 42 cawangan Daiso by Aeon di seluruh negara dengan cawangan terbaru dibuka di pusat beli-belah ini adalah antara cawangan yang terbesar dengan keluasan kira-kira 8,000 kaki persegi berbanding 6,000 kaki persegi bagi cawangan lain.

"Kami merancang untuk membuka lima hingga 10 cawangan baru Daiso by Aeon di seluruh negara pada tahun ini bergantung kepada keadaan ekonomi semasa," katanya ketika ditemui di cawangan terbaru Daiso by Aeon Tropicana Gardens Mall, di sini, baru-baru ini.

SUNNY Setiawan. FOTO Hairul Anuar Rahim
SUNNY Setiawan. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sunny berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan Daiso by Aeon baharu yang besar dengan pelbagai harga produk ditawarkan termasuk RM5.90 bagi setiap unit produk.

"Untuk cawangan besar Daiso by Aeon kami akan menawarkan pelbagai barisan produk berkualiti di mana harganya berpatutan iaitu dari RM11.80 hingga RM17.70," katanya.

Mengulas mengenai impak pandemik Covid-19 terhadap pasaran produk ditawarkan pihaknya, beliau berkata, ada beberapa segmen barangan yang mendapat permintaan tinggi.

"Antara segmen barangan yang mendapat permintaan tinggi ketika ini adalah produk kebersihan diri, barangan dapur dan alat berkebun.

"Ia didorong situasi semasa orang ramai yang duduk di rumah ketika pandemik ini melakukan hobi mereka seperti memasak dan berkebun selain lebih teliti menjaga kebersihan diri," katanya.

Menurutnya, Daiso by Aeon mencatatkan kenaikan kira-kira lima peratus bagi transaksi pembelian yang dijalankan secara dalam talian.

"Susulan penularan pandemik, kadar transaksi pembelian secara dalam talian meningkat. Bagaimanapun, kelonggaran yang diberikan kerajaan ketika ini membolehkan orang ramai untuk datang ke premis bagi melihat sendiri produk," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk mengemukakan cadangan kepada Daiso Japan untuk memberi kad keahlian kepada pelanggan tetap Daiso by Aeon.

"Buat masa ini, kami tidak menawarkan sebarang diskaun memandangkan harga barangan ditawarkan adalah tetap pada satu harga iaitu RM5.90 bagi setiap satu produk.

"Justeru, kami akan mengemukakan cadangan kepada Daiso Japan untuk menyediakan kad keahlian kepada pelanggan tetap sebagai cara untuk menghargai mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 7:00 AM