LIM
LIM

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad sekali lagi merangkul Anugerah 10 Pemaju Terbaik 2020/2021 di Anugerah BCI Asia (BCIAA) bagi tahun 2020.

Pencapaian ini adalah satu pengiktirafan besar kepada LBS sebagai pemaju hartanah contoh dan terbaik di Malaysia serta Asia Tenggara.

Ia adalah anugerah yang diterima oleh LBS untuk kali ke lima.

Anugerah 10 Pemaju Terbaik 2020 dipilih berdasarkan tahap kelestarian projek mereka.

Ia adalah anugerah berprestij yang paling dinantikan dalam kalangan sektor seni bina, pemaju hartanah dan pembinaan di seluruh Asia Tenggara termasuk Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, objektif perumahan lestari adalah untuk meningkatkan taraf hidup sambil memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki rumah idaman mereka dengan perpaduan dan kesejahteraan kemasyarakatan yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan sosial.

"Pertimbangan dari aspek kelestarian diambil kira dalam keseluruhan kitaran hayat pembangunan kami, baik daripada reka bentuk konsep kepada pembinaan dan pengurusan bangunan seperti KITA Mekar, KITA Mesra, Residensi Bintang Bukit Jalil dan Prestige Residence, yang dilancarkan baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tahun 2020 adalah tahun mencabar namun LBS mampu mengharunginya dengan sokongan dari kerja keras dan ketabahan pekerja yang berjaya meletakkan LBS sebagai 10 pemaju perumahan terbaik.

"Untuk itu, saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan terima kasih kepada BCIAA kerana sentiasa mengiktiraf usaha kami dan menganugerahkan LBS dengan Anugerah 10 Pemaju Terbaik.

"Kami percaya di waktu pandemik ini, rumah mampu milik dengan kualiti binaan yang luar biasa adalah kunci kepada kejayaan syarikat. Memandangkan kita semakin menghampiri penghujung tahun, tumpuan LBS akan terus dipacu ke arah menyediakan rumah mampu milik dan mewujudkan kehidupan yang hijau dan mampan serta persekitaran bekerja dan rekreasi untuk semua pembeli rumah Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:01 AM