MYVI Baharu 2022
MYVI Baharu 2022
Lizam Ridzuan

Johor Bahru: Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) mencatatkan lebih 14,600 unit tempahan model Myvi Baharu 2022 yang dilancarkan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pengeluaran model ini sedikit perlahan pada November untuk menyediakan kepada pelanggan varian model baharu.

"Sejak diperkenalkan pada 18 November lalu, angka tempahan yang dicatatkan menerusi Myvi Baharu ini, sejumlah 7,189 unit adalah daripada pesanan pelanggan model terdahulu,"

"Setakat ini Perodua berjaya mendaftarkan sebanyak 42,288 unit Myvi sejak Januari lalu," katanya ketika program Myvi Warrior bersama media di sini, hari ini.

Untuk prestasi jualan keseluruhan model Perodua dari Januari hingga November 2021, ia mencatatkan 167,250 unit iaitu 14.2 peratus penurunan.

Ia jika dibandingkan sebanyak 194,980 unit sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Penyerahan kenderaan juga sedikit rendah sebanyak 20,299 unit pada November kerana kekurangan bekalan cip semikonduktor disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang memberikan kesan ke atas proses pengeluaran kenderaan.

Bagi kelangsungan ekosistem industri, Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 32,500 unit pada Disember ini.

Ia adalah angka penting untuk mencapai sasaran 200,000 unit terjual.

Untuk perbandingan bulan ke bulan jualan, ia menunjukkan penurunan sebanyak 27.1 peratus daripada 27,858 unit.

"Kami memohon maaf atas penyerahan kenderaan yang tertangguh dan sangat menghargai sokongan dan kesabaran pelanggan terutama dalam tempoh mencabar ini," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 12:45 PM