MOHD Muazzam bersama Ahmad Dasuki (kanan) melancarkan simbolik pelancaran 'Pay & Win With DD (DirectDebit) dan penyerahan zakat perniagaan Bank Islam bagi tahun 2020 kepada PTPTN. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Muazzam bersama Ahmad Dasuki (kanan) melancarkan simbolik pelancaran 'Pay & Win With DD (DirectDebit) dan penyerahan zakat perniagaan Bank Islam bagi tahun 2020 kepada PTPTN. FOTO Hazreen Mohamad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) akan terus meneroka pelbagai peluang kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) demi manfaat pelanggan dan peminjamnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata BIMB dan PTPTN telah lama menjalinkan kerjasama terutamanya dalam menguruskan pinjaman kepada pelajar di institusi pengajian tinggi.

"Kita juga mempunyai kolaborasi strategik bersama PTPTN melalui pelaksanaan bayaran PTPTN melalui kaedah DirectDebit (DD) dan juga pelancaran kad debit i-Bank Islam Visa PTPTN," katanya ketika berucap di majlis pelancaran kempen "Pay and Win with DD dan penyerahan zakat perniagaan Bank Islam untuk 2020 kepada PTPTN hari ini.

Mohd Muazzam berkata sebanyak 94,131 kad debit telah dikeluarkan, jumlah kad debit itu akan terus meningkat pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata penganjuran kempen "Pay and Win with DD" merupakan antara usaha dijalankan bagi menghargai peminjam PTPTN yang komited membayar balik pinjaman pendidikan mereka secara konsisten melalui kemudahan perkhidmatan DirectDebit.

"Ia juga menyambut baik langkah kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 yang memberi insentif diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam PTPTN.

"PTPTN sentiasa komited dalam merancang dan mengatur strategi serta program yang dapat membantu meningkatkan kesedaran peminjam agar membuat bayaran balik," katanya.

Ahmad Dasuki dalam persekitaran kebiasaan baharu akibat pandemik Covid-19 ketika ini, kemudahan tanpa tunai sentiasa menjadi keutamaan PTPTN untuk memudahkan peminjam membuat bayaran balik tanpa perlu hadir ke kaunter.

Beliau berkata saluran DirectDebit ini sewajarnya dimanfaatkan oleh para peminjam untuk memastikan bayaran balik pinjaman dibuat secara konsisten.

"Melalui kemudahan ini, peminjam dapat memastikan rekod bayaran balik pinjaman adalah baik dan mengelakkan tunggakan sekali gus turut membantu meningkatkan dana pinjaman bagi pemberian pinjaman kepada pelajar-pelajar baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:54 PM