Tun Arifin Zakaria.
Tun Arifin Zakaria.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd melancarkan Cancer Rider iaitu manfaat tambahan bagi melindungi peserta dan keluarga daripada bebanan kos rawatan penyakit kanser.

Pelancaran Cancer Rider sempena Minggu Saham Digital (MSD) 2021 itu disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Arifin Zakaria.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata kanser merupakan salah satu penyakit yang memerlukan rawatan khas dan khusus untuk penyembuhan serta rawatannya menelan belanja yang tinggi.

"Di bawah pelan Cancer Rider ini, ia dapat membantu meringankan bebanan kewangan bukansahaja kepada pesakit tetapi juga ahli keluarga pesakit," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Zaharudin berkata sempena MSD tahun ini, orang ramai yang mendapatkan pelan Cancer Rider atau pelan-pelan takaful keluarga lain daripada Takaful Ikhlas berpeluang untuk memenangi hadiah istimewa melalui peraduan Cabutan Rezeki Ikhlas yang menawarkan hadiah barangan eletronik seperti tablet dan telefon pintar model terbaharu.

"Saya berharap orang ramai akan merebut peluang ini dan menyertai pelan takaful keluarga Takaful Ikhlas sepanjang MSD berlangsung.

"Cancer Rider merupakan manfaat tambahan kepada produk sedia ada daripada Takaful Ikhlas iaitu Ikhlas Bersama dan ianya ditawarkan kepada individu seawal umur 30 hari sehingga 60 tahun, ia direka khas dengan mengambil kira keperluan perubatan dan kewangan peserta sekiranya menghidapi penyakit kanser," katanya.

Selain itu, Cancer Rider menawarkan manfaat amaun perlindungan bernilai sehingga RM1.5 juta kepada peserta, memberikan pampasan sebanyak 30 peratus kepada peserta sekiranya didiagnosis dengan kanser tahap awal seperti karsinoma in situ, leukemia limfositik kronik awal, kanser prostat awal, kanser tiroid awal dan kanser pundi kencing awal selain pampasan sebanyak 100 peratus kepada peserta sekiranya didiagnosis dengan kanser tahap akhir.

Pelan perlindungan itu juga menyediakan manfaat elaun 'hospice care' sehingga RM10,000 kepada peserta dan manfaat ini merupakan yang pertama kalinya diperkenalkan di Malaysia.

Selain daripada itu Cancer Rider menyediakan manfaat elaun rawatan sebanyak RM100 sehari atau sehingga RM10,000 ketika pesakit menjalani rawatan seperti kemoterapi, radioterapi, imunoterapi dan pembedahan pasca kanser.

Takaful Ikhlas turut menyediakan e-baucar dengan jumlah keseluruhan bernilai RM15,000 untuk dimenangi oleh 300 peserta pelan takaful keluarga yang melanggan produk-produk takaful keluarga daripada Takaful Ikhlas sepanjang MSD 2021 ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Cancer Rider, orang ramai boleh layari media sosial rasmi Takaful Ikhlas di Instagram @takafulikhlas.official dan Facebook Takaful Ikhlas serta laman web rasmi Takaful Ikhlas www.takaful-ikhlas.com.my atau menghubungi wakil-wakil perunding Takaful Ikhlas di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 10:48 AM