Khadijah Iskandar.
Khadijah Iskandar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Agrobank Bhd akan mempelbagaikan aliran pendapatannya kepada hasil bukan pembiayaan menjelang 2022, kata Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Khadijah Iskandar.

Beliau berkata, bank itu bagaimanapun akan mengekalkan portfolio pembiayaan sebagai penyumbang hasil utamanya sambil terus meningkatkan lebih banyak hasil bukan pembiayaan untuk menjana lebih banyak pendapatan yuran apabila Takaful Pertanian (Crop Takaful) dan Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) menjadi kenyataan.

"Kami akan terus menambah lebih banyak hasil bukan pembiayaan untuk menjana lebih banyak pendapatan yuran ... pendapatan yuran ini akan meningkat tanpa mengurangkan sumbangan daripada pembiayaan, cuma bahagiannya yang akan menjadi lebih besar," katanya kepada Bernama.

Khadijah berkata, berpandukan kepada misi yang diperbaharui untuk 'Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan', Agrobank membangunkan takaful pertanian atau Crop Takaful untuk memastikan kelangsungan hidup penggiat industri termasuk petani, penternak dan nelayan.

Objektifnya adalah untuk menyediakan pilihan perlindungan takaful kepada pencarum yang terjejas akibat bencana, serangan penyakit dan ketidaktentuan cuaca yang menyebabkan penurunan dalam pengeluaran dan menjejaskan pendapatan, katanya.

Sementara itu, Khadijah berkata, ACE juga boleh melonjakkan pendapatan yuran dan pada masa yang sama membantu melengkapkan usahawan tani dengan kemahiran yang diperlukan melalui pelbagai program latihan dan kursus.

Beberapa program dan kursus termasuk asas pengurusan kewangan perniagaan, asas perancangan perniagaan, pemasaran kos sifar, klinik perniagaan, myfuture agro dan kelas induk dalam talian, antara lain, sebahagiannya melalui kerjasama dengan agensi berkaitan, jelas beliau.

Menurut Khadijah, Agrobank berpendapat kemajuan program vaksinasi dijangka mempercepatkan pembukaan semula sektor ekonomi.

"Berserta dengan langkah rangsangan kerajaan, pembukaan semula sektor ekonomi diunjur dapat merangsang ekonomi dan ianya amat baik untuk sektor perbankan," katanya.

Bank itu turut menjangkakan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2022 akan meningkat berbanding tahun kewangan 2021.

Ia mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan dalam sistem perbankan tempatan adalah antara 3.0 dan 4.0 peratus, meningkat kepada 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2022, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.

Kementerian Kewangan meramalkan KDNK Malaysia mengukuh antara 5.5 dan 6.5 peratus tahun depan, dipacu oleh peningkatan pesat perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik dan peningkatan beransur-ansur dalam sentimen pengguna dan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 11:16 AM