CERMIN kaunter  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibersihkan.
CERMIN kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibersihkan.

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mempertingkatkan semua prosedur operasi standard (SOP) untuk pemulihan yang dapat dikekalkan dan secara berterusan dalam industri penerbangan sebagai persediaan kepada jumlah pergerakan penumpang dalam beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, semua 39 lapangan terbang di bawah rangkaian MAHB di seluruh negara akan terus mengamalkan langkah keselamatan Covid-19 dan kekal diberi garis panduan oleh kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengenai SOP terbaharu.

Beliau berkata, bagi melindungi penumpang dan komuniti lapangan terbang dan pada masa yang sama mengekang penularan pandemik itu.

"Sejak beberapa tahun lalu, kesiapsiagaan lapangan terbang menjadi faktor utama dalam memastikan perkhidmatan kami kekal relevan dan mencapai standard tinggi. MAHB memberi jaminan keselamatan kepada penumpang kerana operasi lapangan terbang kami kembali berjalan lancar," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MAHB mengalu-alukan pengembara kembali ke rangkaiannya apabila sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa ditamatkan.

Mohd Shukrie berkata, walaupun jumlah penumpang yang rendah, lapangan terbang di seluruh negara tetap beroperasi sepanjang tempoh pandemik dan menggunakan masa itu untuk memastikan pengalaman lapangan terbang yang selamat sebagai persediaan pembukaan semula perjalanan udara.

Selain pelaksanaan langkah-langkah keselamatan untuk mengembalikan keyakinan terhadap perjalanan udara, kemudahan juga ditambah baik untuk meningkatkan pengalaman perjalanan.

"Kakitangan kami di semua lapangan terbang sudah bersedia untuk menjalankan tugas pada tahap kecekapan yang maksimum untuk menyambut penumpang.

"Kami sudah memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap langkah-langkah kebersihan Covid-19 dengan lima lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menerima akreditasi Airport Health Accreditation (AHA)," katanya.

Beliau berkata, MAHB juga sudah mencapai kadar vaksinasi 98 peratus untuk semua kakitangannya di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:00 AM