BERNAMA

Kuala Lumpur: Hasrat kerajaan untuk mempercepat pelancaran rangkaian 5G yang disasarkan pada akhir tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), adalah bertepatan pada masanya bagi membolehkan negara ini meraih manfaat kesan limpahan daripada pertumbuhan teknologi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Bhd Munirah Khairuddin berkata ini memandangkan teknologi 5G itu merentasi pelbagai sektor termasuk pengangkutan dan tidak hanya terhad kepada komunikasi.

"Kita telah lama menunggunya dan melibatkan pelaburan besar. Namun, ini merupakan sesuatu yang tepat pada masanya, terutama dari segi perspektif makroekonomi apabila rakan dagang terbesar Malaysia, China juga jauh lebih maju dalam aspek ini.

"Oleh itu, jika mahu meraih manfaat daripada sebarang kesan limpahan dalam teknologi itu serta sektor sokongan lain, kita perlu mempunyai 5G," katanya pada sesi taklimat media secara maya pada Selasa yang diadakan bersempena penganjuran Sidang Kemuncak APAC 2021.

Ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sektor swasta akan membuat pelaburan tambahan RM15 bilion untuk mempercepat pelancaran rangkaian 5G ke serata negara.

Di bawah RMK12 itu, kerajaan akan merapatkan jurang digital terutama antara luar bandar dan bandar menerusi transformasi pusat internet komuniti kepada Pusat Digital Keluarga Malaysia.

Malah, ekonomi digital dijangka menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025.

Mengulas aspek itu, Munirah berkata setiap sektor di Malaysia turut mencari jalan bagi merevolusi pendekatan perniagaan agar seiring dengan trend semasa.

"Teknologi mempermudah usaha celik kewangan dan membolehkan orang ramai mempelajari mengenai pelbagai perkara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 8:06 PM