Antara produk PKS Sarawak yang berjaya menembusi pasaran global - FOTO FAMA
Antara produk PKS Sarawak yang berjaya menembusi pasaran global - FOTO FAMA
Mohammad Asyraf Khalib

LUAR biasa, ini frasa paling sesuai untuk menggambarkan kegigihan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak yang bertungkus lumus membangunkan perniagaan mereka.

Walaupun kini perniagaan terjejas akibat pandemik, tiada keluhan sebaliknya masing-masing berusaha mencari cara untuk memperbaiki strategi supaya perniagaan kekal berdaya tahan. 

Ikuti perkongsian kisah pahit getir lapan usahawan PKS di bawah, menempuh pelbagai cabaran menghasilkan produk jenama sendiri sehingga berjaya mencuri tumpuan ramai. 

1. Rempah - Inana 

Image

Berkongsi pengalaman mengusahakan produk berasaskan rempah, Pengasas Inana, Hasheenabervi Mohamed Attaullah, berkata perniagaan yang diusahakannya bermula secara kecil-kecilan pada 2016. 

"Ketika itu, hanya satu jenis produk diperkenalkan iaitu pes sejuk beku, kemudian diikuti dengan penghasilan pes tanpa bahan pengawet dan terkini produk rempah dalam bentuk serbuk dan pra campuran," katanya. 

Tambah beliau lagi, semua inovasi produk ini dibuat secara berperingkat berdasarkan keinginannya yang mahu melihat jenama Inana terus berkembang dan menembusi pasaran lebih luas. 

Berkat usaha dan kegigihan beliau, produk Inana yang sebelum ini hanya dijual di pasar tani, kini mendapat sambutan hebat dalam talian dan boleh didapati di kedai runcit serta pasar raya sekitar Sarikei.

Tidak cukup dengan itu, Hasheenabervi turut membuka ruang kepada usahawan lain untuk mempelajari ilmu perusahaan rempah secara dalam talian termasuk menawarkan peluang menjenamakan semula rempah keluaran Inana dengan jenama mereka sendiri.

Ditanya mengenai cabaran ketika pandemik, Hasheenabervi berkata pada asalnya beliau mempunyai kilang dan mempunyai pekerja sendiri. Bagaimanapun, kilang terpaksa ditutup dan memberhentikan operasi buat sementara waktu sehingga keadaan pulih sedia kala. 

"Saya bersyukur perniagaan masih bertahan dan diteruskan dalam talian. Saya juga sedang giat mengajar usahawan lain secara dalam talian, bukan hanya dari Sarawak tetapi seluruh Malaysia," kataya.

Dapatkan rangkaian produk rempah Inana di Facebook

2. Roti Canai dan Sambal Tumis - D'Hana

Image

Bermula dengan berniaga roti canai di tepi jalan, kini suri rumah dan juga ibu kepada seorang anak, Monaliza Muslim, berjaya bergelar usahawan produk makanan iaitu D'Hana. 

Menurut Monaliza, produk utama yang diusahakan syarikatnya adalah roti canai buatan sendiri yang terkenal dengan tekstur roti lembut dan enak. 

Selain roti canai, beliau turut menghasilkan pelbagai jenis sambal tumis segera termasuk ikan bilis, bubok, udang kering, sotong kering dan ikan masin.

"Produk sambal D'Hana menjadi pilihan ramai kerana boleh dimakan terus bersama nasi panas atau dinikmati bersama roti canai atau ubi kayu.

"Selain itu, ia juga boleh dijadikan bahan campuran dalam masakan seperti sayur dan ikan bakar kerana produk D'Hana tidak mengandungi bahan pengawet," katanya.

Mengakui sukar menguruskan perniagaan ketika pandemik, Monaliza tekad memperbaiki strategi pemasaran dengan menyahut saranan kerajaan untuk beralih secara digital. 

Walaupun pada awalnya peralihan itu sangat sukar kerana kurang mahir dalam teknologi, beliau bersyukur pihak kerajaan menyediakan pelbagai kursus dan program untuk membantu usahawan sepertinya.

"Menerusi program ditawarkan, saya mempelajari pelbagai strategi baharu untuk meningkatkan jualan seperti iklan dan promosi menerusi platform dalam talian seperti  AgroBazaar Online dan banyak lagi," katanya.

Dapat rangkaian produk D'Hana di Facebook.

3. Inovasi produk serbuk belacan - KOOCAKyuz® 

Image

Unik dan menarik, ini pula kisah KOOCAKyuz®, produk makanan berasaskan belacan yang diusahakan Yuniza Yassin.

Yuniza yang berasal dari Kota Samarahan memilih belacan sebagai produk utama dalam perusahaannya kerana beliau teruja untuk mencipta inovasi baharu serbuk belacan yang mudah di bawa ke mana sahaja. 

"Walaupun terpaksa mengembara jauh dari tanah air seperti ke luar negara atas urusan kerja, serbuk belacan yang sedia dimakan ini wajib dibawa bersama kerana ia dihasilkan untuk pelbagai kegunaan.

"Sebagai contoh, bagi mereka yang suka makan buah-buahan, serbuk belacan ini sememangnya membantu menambah selera," kongsi Yuniza.

Image

Tidak lokek berkongsi nasihat kepada usahawan lain, Yuniza turut menjelaskan bahawa ilmu dan pengalaman adalah tunjang utama dalam menentukan kelancaran sesuatu bisnes. 

"Jika anda bermula dari bawah seperti saya, perkara paling penting adalah fokus dengan perniagaan sehingga ia menjadi. Jangan pernah menyerah dan elakkan hasad dengki," katanya.

Hasil kecekalan dan usaha beliau, kini Yuniza berjaya membuka premis perniagaan sendiri dan produk KOOCAKyuz® berjaya dipasarkan di lapan buah pasar raya di Sarawak. 

Dapatkan rangkaian produk KOOCAKyuz® di Facebook.

4. Sos, jem, buah kering dan jeruk  - Kun Product

Image

Usahawan yang berasal dari Kampung Pulau Melayu, Miri, ini pula mempunyai minat dalam dunia perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. 

Fitriah Rahbi, anak ketiga daripada empat beradik, mula menceburi bidang perniagaan pada 2010.

Ketika itu, beliau hanya bergelar pengedar bagi satu jenama produk jeruk buah-buahan terkemuka di Pulau Pinang.

Tidak lama selepas itu, Fitriah membuat keputusan untuk mula mengusahakan produk sendiri dengan memproses jeruk menggunakan buah-buahan tempatan Sarawak.

Antara yang popular adalah produk terung asam yang mula diperkenal oleh beliau pada tahun 2018. 

Terung asam adalah antara tanaman utama di Sarawak dan ketika itu tiada pengusaha yang berminat mengkomersialkan buah ini.

"Saya nampak peluang yang ada dan kerana itu saya memilih untuk mengusahakan produk yang berasaskan terung asam," katanya.

Selain terung asam, beliau turut menghasilkan produk jeruk seperti betik manis, kedondong, mangga dan halwa jambu batu.

Berkat kegigihan Fitriah, jenama Kun Product kini diiktiraf sebagai pengeluar produk PKS terbaik dan pernah memenangi anugerah Shell Livewire. 

Dapatkan rangkaian Kun Product di sini.

5. Popcorn Gula Apong Sarawak - Anas Popcorn

Image

Jenama Anas Popcorn tidak asing lagi dalam kalangan penggemarnya. 

Sekali pandang, bungkusan produk anak jati Sarawak ini memang tampak premium setanding jenama terkemuka. 

Diusahakan oleh Kawi Recipes, syarikat ini mula ditubuhkan oleh pengasasnya Kawi Lo, pada 2015.

Menurut Kawi, dengan modal permulaan hanya RM800, beliau memulakan perniagaan dengan mempelajari cara membuat mesin bertih jagung sendiri melalui YouTube. 

Namun, percubaan pertama dengan menggunakan seguni bertih tidak berjaya.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus mencuba menghasilkan produk terbaik sehingga terhasilnya bertih jagung berperisa gula apong. 

Mengimbau kembali detik permulaan Anas Popcorn, Kawi berkata lokasi pertama jualan produk itu adalah di pesta Benak, Sri Aman. 

"Jualan bertih jagung berperisa gula apong mendapat sambutan menggalakkan bukan saja dari penduduk tempatan malah pengunjung luar juga turut mengakui keenakan popcorn ini.

"Bermula detik itu, kami meneruskan penghasilan bertih jagung dengan hanya seorang pekerja. Kami juga mula memperkenal jenama Anas Popcorn menerusi jualan di karnival Hari Pekerja Lundu," katanya. 

Image

Sambutan luar biasa mendorong Kawi Recipes membeli empat aset trak makanan pada Jun 2017 dikenali sebagai Anas1 dan tiga buah trak makanan lagi iaitu Anas2, Anas3 dan Anas4 pada penghujung 2017.

Kini, seramai 15 orang pekerja bernaung di bawah syarikat Kawi Recipes dengan 10 stokis dan 500 ejen sah bertanggungjawab memasarkan Anas Popcorn.

"Saya bersyukur, jualan syarikat sudah melebihi RM100,000 sebulan. Kami komited memperkukuh strategi pemasaran supaya jenama Anas Popcorn terkenal di Asia satu hari nanti," katanya.

Dapatkan produk Anas Popcorn di sini.

6. Pes Laksa Sarawak Haji Manan

Image

Produk resipi tradisi sememangnya menjadi rebutan ramai. Ditambah pula, keunikan rasa yang unik pasti membuatkan si pembeli tidak teragak-agak untuk menjadi pelanggan setia. 

Begitulah kisah kejayaan Zuriah Manan, pengasas produk Pes Laksa Sarawak Haji Manan.

Niat murni sekadar ingin berkongsi keenakan resipi Laksa Sarawak bapa beliau dengan orang ramai membuahkan kejayaan apabila produk yang dijual sejak tahun 2000 itu menjadi rebutan sehingga sekarang. 

Berkongsi kebaikan produk keluaran syarikatnya, Zuriah yang juga pemilik syarikat Ayuma Enterprise, berkata, Pes Laksa Sarawak Haji Manan diperbuat daripada rempah ratus bermutu tinggi, sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan.

"Tiada campuran bahan terlarang dalam produk kami dan saya bersyukur produk ini terus mendapat sokongan hebat dari dalam dan luar negara," katanya.

Ditanya mengenai cabaran ketika pandemik, Zuriah mengakui perniagaannya sedikit terjejas apabila proses menghantar produk ke daerah lain tidak dapat dilaksanakan berikutan sekatan perjalanan dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana syarikatnya boleh membuat penghantaran melalui khidmat pos kerana jarak antara kilang dan pejabat pos tidak terlalu jauh. 

Sementara itu, Zuriah turut berkongsi berita gembira apabila beliau diiktiraf sebagai salah seorang usahawan berjaya di Malaysia oleh British Publishing House pada 21 Ogos 2020. 

Sebagai usahawan, beliau menitipkan pesan supaya usahawan lain tidak mudah berputus asa sebaliknya berusaha bangkit walaupun jatuh berulang kali.

"Adat kehidupan pasti ada ujiannya, maka begitu juga dalam perniagaan. Paling penting, kita jangan lupa untuk saling membantu antara satu sama lain dalam perniagaan," kongsi Zuriah.

Dapatkan produk Pes Laksa Sarawak Haji Manan di Facebook.

7. Popia Krup Krap, Popia Seaweed Ori

Image

Anak kelahiran Kampung Sadong Jaya, Asajaya, Sarawak, Anisah Mohd Salleh, gembira berkongsi kejayaan produknya yang kini dipasarkan di beberapa pasar raya Everrise sekitar Kuching. 

Beliau yang juga pemilik syarikat Helijah, berkata Popia Krup Krap dan Popia Seaweed Ori yang dihasilkan syarikatnya menjadi rebutan ramai kerana sesuai dinikmati pada bila-bila masa termasuk dihidang pada hari perayaan. 

"Walaupun pendapatan terjejas ketika pandemik, saya tetap bersyukur kerana hasil jualan masih memuaskan. Pada masa sama, saya mencari cara baharu untuk meluaskan skop pasaran produk," katanya. 

Dapatkan rangkaian produk Helijah di Facebook.

8. Produk Makanan Gula Apong - SPL & Pak Leman

Image

Berjaya mengeksport produk makanan berasaskan gula apong ke Arab Saudi, Jepun dan Amerika Syarikat, ini antara kejayaan terbesar dikongsikan usahawan kelahiran Kucing, Sarawak, Saiful Firdaus Sulaiman.

Beliau yang juga pengasas syarikat SPL Food Industries Sdn Bhd, berkata sebelum ini syarikatnya meraih pendapatan utama daripada hasil jualan produk sambal untuk hidangan makanan laut.

Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada awal tahun lalu, pihaknya terpaksa menukar hala tuju syarikat dan memberi keutamaan kepada penghasilan produk gula apong Sarawak. 

"Sebelum ini, majoriti pelanggan kami adalah pengusaha restoran di sekitar Miri. Mereka bergantung penuh dengan pengunjung dari negara Brunei. Apabila PKP dikuatkuasakan permintaan sambal berkurangan.

"Saya bersyukur dengan keputusan pantas membuat penukaran hala tuju ke produk gula apong sehingga membolehkan syarikat terus bertahan sehingga kini," kongsi Saiful.

Sementara itu, beliau turut berkongsi bahawa syarikatnya adalah pengusaha produk makanan berasaskan gula apong pertama yang mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dapatkan rangkaian produk SPL & Pak Leman di Shopee.

Komitmen FAMA

Menerusi sesi temu bual secara dalam talian, semua usahawan di atas menitipkan penghargaan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana banyak membantu usahawan kecil seperti mereka untuk mengembangkan perniagaan.

Masing-masing tidak lokek berkongsi kepada Harian Metro peranan penting agensi kerajaan dalam usaha memasarkan produk, memperluas saiz pasaran, membantu dalam pembangunan jenama, pembangunan kualiti termasuk pensijilan, pembungkusan dan pelabelan produk mereka.

Tidak cukup dengan itu, FAMA juga turut membantu dari segi promosi dan pemasaran produk sekali gus memperkasa produk PKS supaya kekal berdaya saing di pasaran domestik dan global.

"Terima Kasih FAMA," ujar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 10:51 AM