KAKITANGAN dapur awan di Bangkok menyediakan makanan yang dipesan pelanggan. FOTO AFP
KAKITANGAN dapur awan di Bangkok menyediakan makanan yang dipesan pelanggan. FOTO AFP
AFP

Taipei: Kawasan industri di pinggir Taipei kini menempatkan sekumpulan cef yang menyiapkan hidangan yang tidak dihidangkan di restoran.

Pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekatan pergerakan mendorong percambahan konsep 'dapur hantu' (ghost kitchen) khususnya di Asia.

Peningkatan mendadak aplikasi penghantaran makanan membuktikan pelanggan sudah biasa menikmati makanan berkualiti dari restoran dihantar terus ke rumah.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, kebanyakan pengusaha restoran hanya menyediakan kemudahan dapur atau dikenali juga dapur awan iaitu ruang yang disewa khusus untuk penyediaan makanan.

"Pandemik mendorong seluruh industri ini mencatatkan pertumbuhan menakjubkan. Ia membantu kami semua," kata Jason Chen, Ketua Pegawai Eksekutif JustKitchen kepada AFP.

JustKitchen memulakan operasi pertama dapur hantu di Taiwan awal tahun lalu.

Ia kini memiliki 17 dapur sekitar Taiwan dan satu di Hong Kong serta menyasarkan mengembangkan operasi ke Filipina dan Singapura menjelang hujung tahun ini.

Syarikat penghantaran makanan gergasi seperti Grab dan GoJek turut merekodkan pertumbuhan positif dari segmen ini.

Grab membuka 20 dapur awan di Asia Tenggara pada tahun lalu berbanding 42 dapur sebelum pandemik.

Industri dapur hantu global ini dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih 12 peratus setiap tahun dengan nilai mencecah AS$139.37 bilion (kira-kira RM580 bilion) menjelang 2028, menurut laporan oleh Researchandmarkets.com.

Asia Pasifik yang memiliki 4.3 bilion penduduk mewakili 60 peratus daripada pasaran antarabangsa.

Bagi segelintir individu yang menetap di bandar sesak di mana tempat tinggal mencecah harga premium, makanan harian didapati dari restoran murah atau gerai lebih mampu dimiliki berbanding menyediakan juadah sendiri.

Kumpulan penyelidik dari Euromonitor menganggarkan terdapat 7,500 dapur awan beroperasi di China dan 3,500 di India berbanding 1,500 di Amerika Syarikat dan 750 di Britain.

PENGHANTAR makanan GrabFood mengambil pesanan dari dapur hantu atau dapur awan di Bangkok. FOTO AFP
PENGHANTAR makanan GrabFood mengambil pesanan dari dapur hantu atau dapur awan di Bangkok. FOTO AFP

Bagi Natalie Phanphensophon, generasi ketiga pemilik rangkaian restoran Mango Tree dan Coca, dia terpaksa beralih ke konsep dapur awan awal tahun ini selepas pandemik menyebabkan jumlah kunjungan ke restoran merosot teruk.

Sebahagian besar cawangan restorannya terletak di pusat beli-belah dengan kadar sewa tinggi.

Berikutan itu, awal tahun ini dia membuat keputusan membuka dapur awan di pinggir Bangkok dan merancang membuka dua lagi dapur.

"Dapur awan tidak menjanjikan perolehan lumayan berbanding restoran kerana pelanggan tidak membuat pesanan berlebihan.

"Tetapi, kos operasinya jauh lebih rendah," katanya.

Di sebalik manfaat diterima hasil operasi dapur hantu atau dapur awan ini, ia turut mengundang masalah sampingan iaitu lambakan plastik hasil daripada pembungkusan produk.

Berdasarkan satu kajian di Bangkok, sampah plastik meningkat dua kali ganda ketika pandemik, sebahagiannya berpunca daripada perkhidmatan penghantaran makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 8:21 AM