KHADIJAH
KHADIJAH

Kuala Lumpur: Agrobank terus komited untuk menyokong pembangunan taraf sosioekonomi rakyat Malaysia menerusi pelbagai inisiatif dan program keusahawanan yang dibangunkan khusus untuk memulihkan ekonomi serta perniagaan bagi golongan yang terkesan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata, sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian dan membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia termasuk komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat perhatian seperti golongan B40, wanita, orang kurang upaya dan asnaf menerusi program-program pembangunan sosial yang dibentuk khas untuk memastikan nasib komuniti ini terus terjaga dan dibela.

"Ini bertujuan memastikan supaya komuniti ini terus dibantu dan mampu meningkatkan status sosioekonomi semasa mereka terutama dalam keadaan negara yang kini beralih ke fasa endamik Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyarankan IKP memberikan sokongan penuh kepada negara dalam tempoh pemulihan ini dengan memainkan peranan strategik dan penting dengan memulih dan memelihara kapasiti perniagaan serta menyediakan pelbagai peluang.

Menurutnya, Agrobank sudah membantu ramai usahawan menerusi Dana Pembiyaan Mikro Kredit yang berjumlah RM350 juta menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kepada komuniti agro terjejas akibat pandemik itu, bank itu sudah menyalurkan bantuan berkenaan pada Jun tahun lalu.

"Setakat 31 Julai 2021, Agrobank sudah meluluskan pembiayaan sebanyak RM200.4 juta di bawah pembiayaan AgroMakanan Penjana yang membabitkan kira-kira lebih 16,000 usahawan daripada komuniti Agro," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 8:01 AM