Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia membuktikan tekad kerajaan Malaysia untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terbabit dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

"Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terbabit, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penyelesaian ini akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG.

Ia juga akan mempercepat penyelesaian berkenaan yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi tertunggak 1MDB dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

"Penyelesaian dengan KPMG, bernilai lebih dari 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, adalah antara penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

"Penyelesaian ini tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, serta yang masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung skandal kewangan 1MDB.

"Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguatkuasa yang terbabit atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:33 PM