SEBAHAGIAN daripada tablet yang diserahkan kepada JPN  Selangor di bawah inisiatif Sayap Bagimu.
SEBAHAGIAN daripada tablet yang diserahkan kepada JPN Selangor di bawah inisiatif Sayap Bagimu.
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Yayasan Aeon Malaysia (MAF) di bawah inisiatif Sayap Bagimu menyumbang 2,000 tablet kepada pelajar dalam kalangan keluarga B40 di tujuh negeri.

Sumbangan bernilai RM1 juta tajaan Aeon Co (M) Berhad (Aeon) itu membabitkan 292 sekolah terpilih iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak dan Sarawak melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.

Timbalan Presiden MAF merangkap Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, inisiatif berkenaan turut membabitkan kerjasama Telekom Malaysia Berhad menerusi Yayasan TM, Yayasan Peneraju dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

"Kaji selidik dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan 900,000 pelajar mendapati 36.9 peratus daripada mereka tiada sebarang peranti elektronik.

"Prihatin dengan cabaran itu, kami terpanggil menyantuni pelajar serta golongan lain juga yang berdepan kesukaran kesan pandemik Covid-19 menerusi pelaksanaan inisiatif Sayap Bagimu," katanya pada Majlis Pelancaran AEON Sayap Bagimu secara dalam talian, semalam.

Turut hadir, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin, Pengarah Yayasan TM, Izlyn Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts Mohd Muzzammil Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Wong Kin Lun.

Shafie berkata, 2,000 tablet jenama Samsung Galaxy Tab A T295 diagihkan kepada pelajar layak dan kini merangka bantuan fasa dua bermula bulan depan.

"Fasa dua membabitkan sumbangan sama iaitu pengagihan 2,000 tablet kepada pelajar kurang berkemampuan.

"Inisiatif ini mungkin membabitkan kerjasama daripada organisasi sama iaitu JPN, Yayasan TM, Yayasan Peneraju dan YSS," katanya.

Sementara itu, Dr Radzi Jidin berkata, beliau menyambut baik usaha murni dilaksanakan syarikat korporat dalam pemberian sumbangan kepada pelajar memerlukan.

"Terima kasih kepada Aeon dalam pemberian sumbangan 2,000 unit tablet ini dan juga Yayasan TM yang menaja akses internet unifi mobile selama 12 bulan untuk manfaat pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:20 AM