SEKTOR E&E adalah penyumbang utama ekonomi negara dengan nilai RM20.77 bilion atau 25.4 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor pembuatan pada suku kedua tahun ini. FOTO Arkib NSTP
SEKTOR E&E adalah penyumbang utama ekonomi negara dengan nilai RM20.77 bilion atau 25.4 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor pembuatan pada suku kedua tahun ini. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengambil langkah terancang khususnya dalam membantu pembukaan semula sektor ekonomi secara berfasa serta selamat bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembukaan sektor pengilangan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard yang ketat dan kadar vaksinasi pekerja, diambil berdasarkan kepada keperluan ekonomi negara untuk kekal berdaya saing serta memastikan rantaian bekalan tidak terencat dan pelaburan tidak terjejas.

"Saya ingin ambil contoh satu sektor iaitu sektor elektrikal dan elektronik (E&E). Keputusan kerajaan membenarkan sektor E&E dibuka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), PKP diperketatkan di Selangor, Seremban dan Senai serta Pelan Pemulihan Negara adalah berdasarkan fakta dan data bagi mengimbangi keperluan kesihatan awam dan kelangsungan kehidupan rakyat," katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan (Pejuang-Jerlun) Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir mengenai rasional lebih banyak kilang dibenar beroperasi ketika jumlah kes Covid-19 dalam negara semakin meningkat.

Sektor E&E adalah penyumbang utama ekonomi negara dengan nilai RM20.77 bilion atau 25.4 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan pada suku kedua tahun ini.

Bagi eksport sehingga Jun lalu, sektor terbabit menyumbang sebanyak RM386.29 bilion atau 40 peratus daripada nilai keseluruhan eksport barangan dan menyediakan lebih 400,000 pekerjaan.

"Lebih 20,000 syarikat berstatus PKS terbabit dalam rantaian bekalan kepada pengilang tersebut. Fakta ini memperlihatkan kepentingan kesinambungan operasi sektor ini bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pengilangan," kata Azmin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:00 AM