ADRIAN Ong
ADRIAN Ong

Kuala Lumpur: Hanya dalam setahun selepas penyenaraiannya di Bursa Malaysia, MR DIY Group (M) Bhd sudah menerima tiga pengiktirafan Anugerah Korporat Pelabur Keinstitusian Alpha SEA ke-11 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Adrian Ong berkata, MR DIY memenangi Anugerah 'Perhubungan Pelabur Paling Teratur' dan 'Sokongan IR Pengurusan Kanan Terbaik', manakala Naib Presiden Kanan Kewangannya, Lim Chen Hwee dinobatkan sebagai 'CFO Terbaik di Malaysia'.

"Penghargaan ini mencerminkan hasil usaha kolektif pasukan yang berdedikasi dan bersemangat untuk menyampaikan maklumat komprehensif, jelas, tepat pada masa serta relevan kepada pihak berkepentingan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti pelaburan kerana menaruh keyakinan kepada kami, yang datang hanya satu tahun selepas kami disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu pada Oktober 2020. Kami agak teruja selepas kalian mengiktiraf usaha kami," katanya dalam kenyataan.

Anugerah Korporat Pelabur Keinstitusian Ke-11 Alpha SEA diadakan pada hasil tinjauan berdasarkan persepsi yang menilai sesebuah syarikat selepas mengambil kira prestasi mereka dalam pengurusan kewangan, kepatuhan terhadap tadbir urus korporat, pelaporan bersepadu, tanggungjawab sosial korporat dan hubungan dengan pelabur.

Undian dikumpulkan daripada 502 pelabur dan penganalisis, yang memilih dalam pelbagai kategori untuk mecalonkan syarikat tersenarai awam di seluruh Asia Tenggara yang layak diperakui.

Ong berkata, anugerah berkenaan memberi inspirasi kepada MR DIY untuk terus memberi tumpuan dalam memberikan nilai terbaik kepada pihak berkepentingan.

"Kami sedar bahawa nilai jangka panjang kumpulan akan ditakrifkan melalui kemampuan kami menyampaikan produk mampu milik yang sejajar dengan moto Sentiasa Rendah Harga.

"Kami ingin melakukan perkara ini dengan mendorong pertumbuhan dan mengekalkan fokus terhadap kawalan kos serta kecekapan operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:20 AM