Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.
Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.
MAHB jangka trafik perjalanan udara meningkat sehingga 10 peratus daripada tahap sebelum pandemik.
MAHB jangka trafik perjalanan udara meningkat sehingga 10 peratus daripada tahap sebelum pandemik.
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Prestasi kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka akan bertambah baik bermula suku kedua tahun hadapan sebelum mencapai pemulihan sepenuhnya pada 2023.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun pemulihan itu sedikit lambat tetapi ia mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di Malaysia dan langkah pembukaan pelbagai sektor ekonomi secara beransur-ansur oleh kerajaan.

Beliau berkata, industri penerbangan termasuk MAHB sebagai operator lapangan terbang antara pihak yang terjejas teruk sejak pandemik ini melanda negara dan juga global dengan penurunan mendadak perjalanan udara domestik dan antarabangsa.

"Walaupun kerajaan sudah memperkenalkan gelembung perjalanan ke Langkawi dan beberapa lokasi lain serta perancangan kebenaran rentas negeri, ini tidak memberi kesan signifikan kepada prestasi kewangan MAHB.

"Ini kerana penerbangan domestik tidak memberikan impak besar kepada aliran tunai kumpulan, namun ia membantu dari segi tidak langsung mencatatkan sebarang pendapatan.

"Hasil utama adalah daripada penerbangan antarabangsa. Jika berdasarkan situasi semasa, penerbangan antarabangsa dijangka hanya akan beroperasi pada tahun hadapan. Justeru itu sasaran MAHB adalah seiring dengan unjuran pasaran," katanya ketika taklimat media khas MAHB secara maya hari ini.

Zambry berkata, kerajaan juga sudah memberikan petunjuk kepada MAHB menjelang tahun hadapan situasi pandemik negara akan meningkat dengan positif.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melihat semula perjalanan rentas negeri dan antarabangsa bagi keperluan bersama antara perniagaan dan rakyat.

Ini katanya dijangka akan mengubah prestasi ketika ini dan meningkatkan unjuran kumpulan bagi menjana pendapatan yang lebih kukuh.

MAHB juga katanya mencadangkan kepada kerajaan melihat model perniagaan sektor penerbangan yang dilaksanakan oleh beberapa negara luar bagi membantu pemulihan pantas sektor ini.

"Jika beberapa negara lain boleh melaksanakannya, saya percaya Malaysia juga mampu. Perkara ini difahamkan sudah dibincangkan di peringkat kabinet.

"Saya percaya keutamaan kerajaan juga bagi pembukaan perjalanan udara dan sektor penerbangan. Ini kerana ia berkait rapat dengan banyak perkara seperti pelaburan langsung asing," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, sukar untuk meramalkan situasi penerbangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan tepat ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran Mavcom, trafik perjalanan udara dijangkakan hanya sekitar lima juta pada tahun ini.

"Lima juta trafik perjalanan udara adalah bagi situasi yang buruk tetapi bagi situasi yang lebih cerah, kami menjangkakan sekitar 10 juta.

"Justeru itu kami menjangkakan trafik perjalanan udara meningkat lima hingga 10 peratus daripada tahap prapandemik di Malaysia," katanya.

Mohd Shukrie berkata, langkah berterusan kumpulan dalam normalisasi perniagaan juga dijangka akan terus mendukung pendapatannya dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.

Beliau berkata, kumpulan juga mempunyai beberapa sumber kewangan lain seperti pinjaman bank dan sukuk.

MAHB katanya mampu bertahan dalam krisis ini dan mempunyai simpanan kewangan yang sedia untuk digunakan, menjadikannya berada dalam keadaan yang agak selesa.

"MAHB tidak hanya fokus untuk meningkatkan aliran tunai kita ke tahap prapandemik, tetapi kita juga menyediakan lapangan terbang dan kakitangan erada pada tahap operasi yang optimum.

"Sinar semakin cerah ketika ini terutamanya dengan pembukaan semula pelancongan domestik. Dengan Langkawi sebagai destinasi perintis gelembung perjalanan domestik, kami pastinya menantikan operasi lapangan terbang kembali berjalan lancar," katanya.

Mohd Shukrie berkata, walaupun 2020 menjadi tahun yang mencabar dan sukar, kumpulan kekal fokus untuk meningkatkan standard operasi dan kemudahannya.

Beliau berkata, MAHB memanfaatkan sepenuhnya tempoh sekatan dan ketiadaan penerbangan bagi menaiktaraf

dan mempercepat rancangan jangka panjang seperti penggantian aset kritikal serta inisiatif penetapan semula komersial.

Katanya, usaha penambahbaikan MAHB turut mendapat penghargaan apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berada di antara 10 teratas bagi kategori lebih daripada 40 juta penumpang setahun dalam Tinjauan ASQ tahun lalu.

Ini katanya adalah peningkatan yang ketara dari kedudukan ke-17 ketika sebelum pandemik ini melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:45 PM